Sunday, April 3, 2022

PENGENALAN TENTANG KANAK-KANAK PINTAR CERDAS DAN BERBAKAT

Edit Posted by Cikgu Jusren, Cikgu Lozinah, Cikgu Vezlin with No comments

 PENDAHULUAN


 Kebelakangan ini, isu kehadiran golongan individu pintar cerdas dan berbakat telah menjadi suatu isu yang menjadi perdebatan banyak pihak terutamanya golongan ilmuan. Para ilmuan masing-masing memberikan tanggapan mereka disamping melaksanakan kajian daripada pelbagai aspek untuk mengkaji golongan ini. Masyarakat pula menganggap bahawa golongan pintar cerdas dan berbakat ini merupakan golongan yang istimewa dan adalah menjadi suatu kebanggaan jika mereka atau ahli keluarga mereka berada di dalam golongan tersebut. Hal ini kerana, golongan ini mempunyai kebolehan yang teratas berbanding dengan rakan yang lain dan seringkali mendapat sokongan dari keluarga, komuniti dan pendidikan yang baik (Simonton, 2005).

           Di negara kita Malaysia, beberapa orang pelajar yang pintar cerdas dan berbakat telah membuka mata dunia dengan kecerdasan yang dimiliki mereka seperti Sufiah Yusof, seorang yang telah berjaya masuk ke Kolej St Hilda, Universiti Oxford untuk mempelajari matematik pada umur seawal 13 tahun. Selain itu, Mohamed Shukri Hadafi Aziz turut menggemparkan negara dengan kemampuannya yang lancar membaca surat khabar seperti orang dewasa ketika berumur baru mencecah tiga tahun. Begitu juga dengan pelajar genius matematik iaitu Adi Putra yang telah berjaya menghasilkan banyak formula dalam matematik.

         Pada asasnya, kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat adalah golongan yang diketahui kebolehan mental mereka adalah jauh lebih tinggi daripada rakan sebaya mereka. Perkembangan mereka dengan kanak-kanak normal adalah hampir sama tetapi masih berbeza. Kanak-kanak pintar cerdas sememangnya memperlihatkan kelebihan intelek yang luar biasa berbanding rakan sebaya mereka. Situasi seumpama ini menyebabkan perancangan bagi suatu sesi pengajaran dan pembelajaran perlu dirancang sebaiknya agar golongan pintar cerdas dan berbakat ini dapat mengikuti pembelajaran yang setaraf dengan tahap intelek mereka. Namun, bagi golongan pendidik, masalah yang timbul ialah apabila mereka sendiri tidak mempunyai pengetahuan tentang bagaimana untuk mengendalikan hal-hal yang berkaitan dengan pembelajaran kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat. Malah, lebih merumitkan lagi keadaan apabila mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang ciri-ciri yang ada pada golongan ini terutamanya dari aspek ciri-ciri kognitif dan afektif kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat. Hal ini menyebabkan sebilangan golongan pendidik tidak berusaha untuk mempunyai pengetahuan tentang bagaimana untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian untuk mereka. Maka, ini menyebabkan mereka gagal untuk merancang suatu proses pengajaran dan pembelajaran yang bermakna kepada murid-murid yang pintar cerdas dan berbakat ini. Biasanya, sekolah gagal memberi perhatian yang wajar kepada pelajar pintar cerdas dan berbakat kerana menganggap mereka tidak perlu diberi program pendidikan dan bimbingan yang khusus (Gallagher, 1990).
 
      Kebanyakan masalah emosi kanak-kanak pintar cerdas sama ada dalam bidang akademik mahupun persekolahan adalah disebabkan kegagalan pendekatan pendidikan sedia ada yang berpunca daripada kurangnya kesedaran guru tentang ciri-ciri kognitif dan afektif murid-murid yang pintar cerdas dan berbakat. Guru mengganggap bahawa semua murid mempunyai aras kognitif yang sama menyebabkan pendekatan pendidikan yang digunakan adalah tidak berkesan. O1eh kerana itu, jika kanak-kanak pintar cerdas tidak diberi pendedahan yang sepatutnya bermakna potensi yang ada pada mereka juga sukar untuk dikembangkan. Di sekolah, terdapat sebilangan guru yang mungkin memberi golongan pelajar ini maklumat-maklumat yang tidak berkaitan dan tidak memberangsangkan, selain tugasan yang diberi menjadikan golongan pelajar ini lebih derita seperti kerja salin-menyalin atau menghafal fakta yang tidak dapat dikaitkan dengan pengalaman pelajar. Tugasan salin-menyalin sebenarnya merupakan suatu bentuk penyeksaan mental yang baharu terhadap golongan pelajar tersebut kerana tugasan seumpama itu hanya melatih kemahiran-motor-halus mereka dan bukannya kemahiran berfikir mereka. Kadang-kadang, tugasan yang diberi guru tidak sesuai dengan keperluan (motivasi intrinsik) mereka yang sentiasa ingin tahu atau ingin mengkaji sesuatu topik dengan lebih mendalam. Faktor tersebut menjadikan pelajar pintar cerdas tidak suka kepada sekolah. Malahan, guru menambah jumlah tugasan golongan pelajar lebih daripada biasa. Sebenarnya, cara ini tidak sesuai dilakukan terhadap golongan pelajar ini kerana mereka memerlukan cabaran kualiti dan bukannya cabaran kuantiti.
 
           Hari ini jika dibandingkan dengan sebelumnya, kepelbagaian aras kognitif pelajar dalam sesebuah bilik darjah telah memberikan gambaran bahawa bilik darjah adalah sebagai tempat untuk melaksanakan pendidikan umum (Tomlinson, 2004). Hal ini kerana, dalam kebanyakan bilik darjah, para pelajar mempunyai tahap kebolehan kognitif yang pelbagai. Manakala, pelajar berkebolehan tinggi iaitu golongan pintar cerdas dan berbakat pula telah dilabelkan dalam pelbagai cara. Situasi dan kepelbagaian yang berlaku ini sememangnya telah mencabar golongan pendidik khususnya dari segi strategi untuk merancang, mereka bentuk dan melaksanakan strategi pengurusan pengajaran dan tingkah laku yang perlu memastikan kejayaan untuk semua kumpulan pelajar termasuklah kumpulan murid-murid yang pintar cerdas serta berkebolehan tinggi. Walau bagaimanapun, kajian menunjukkan majoriti guru hanya mempunyai pengetahuan khusus yang sedikit tentang kumpulan kanak-kanak ini (Archambault et al., 1993; Robinson, 1998; Westberg dan Daoust, 2003; Whitton, 1997). Kurangnya kesedaran guru-guru tentang keistimewaan mereka terutamanya tentang ciri-ciri kognitif dan afektif mereka menyebabkan guru tidak dapat memahami kehendak dan keperluan mereka yang akhirnya menyebabkan mereka gagal untuk merancang  pembelajaran yang berkesan untuk kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat.
 
           Oleh itu, tugasan ini akan cuba untuk meneroka dan menerangkan serba sedikit tentang ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat. Diharapkan penerangan tentang ciri-ciri individu pintar cerdas dan berbakat dari segi kognitif dan afektif akan dapat membantu pihak yang terlibat khususnya golongan pendidik sedikit sebanyak petua dan idea tentang bagaimana untuk mengendalikan dan merancang strategi pembelajaran yang bersesuaian dengan tahap intelek dan sosio emosi mereka. 

TAKRIFAN KANAK-KANAK PINTAR CERDAS DAN BERBAKAT

        Pada masa ini, label "pintar cerdas dan berbakat" digunakan untuk menunjukkan keupayaan intelek atau akademik yang tinggi, manakala istilah "pendidikan berbakat" pula adalah merujuk kepada bidang pendidikan yang dikhaskan untuk golongan pelajar berbakat ini. Walau bagaimanapun, mentakrifkan "pintar cerdas dan berbakat" bukanlah sesuatu yang mudah. Penggunaan terawal perkataan ini telah digunakan oleh Lewis Terman pada tahun 1925 (Stephens & Karnes, 2000; Morelock, 1996) untuk mengenal pasti pelajar berkebolehan tinggi. Label “pintar cerdas dan berbakat” digunakan selepas ujian IQ pertama yang dibangunkan pada awal 1900-an oleh Alfred Morgan (Sarouphim, 1999). Dalam kajian tersebut, kanak-kanak yang mencapai dua peratus teratas dalam soalan kecerdasan am pada ujian Binet atau alat ukuran yang serupa dengannya adalah dikategorikan sebagai kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat (Clark, 2002).

           Selama bertahun-tahun, banyak definisi tentang pintar cerdas dan berbakat yang  telah dicadangkan oleh para sarjana dan penyelidik. Ini termasuklah bakat semula jadi (Gagne, 1995; Tannenbaum, 2003) sehinggalah kepada kebolehan menggunakan situasi kehidupan dengan jayanya (Sternberg, 2003). Hakikatnya, istilah “pintar cerdas dan berbakat” boleh membawa maksud yang pelbagai mengikut persepsi seseorang individu itu, berbeza juga dari pandangan masyarakat dan pandangan kanak-kanak itu sendiri.

        Stanford Binet (1916), orang pertama menjalankan ujian pintar cerdas yang dikenali sebagai “The Stanford-Binet Test” telah memberikan definisi pintar cerdas sebagai merujuk kepada keupayaan individu untuk memahami, membuat pertimbangan dan penaakulan dengan baik. Lewis Terman (2000), pula memberi definisi pintar cerdas sebagai seseorang yang berkebolehan untuk berfikir secara abstrak.

  Menurut Nik Azis (1990), kanak-kanak pintar cerdas adalah mereka yang mempunyai interaksi tiga kelompok sifat manusia iaitu kebolehan intelek umum yang atas purata (murid yang mempunyai IQ melebihi 120 dikategorikan sebagai kanak-kanak pintar cerdas), aras yang tinggi terhadap tanggungjawab kepada tugas dan aras kreativiti yang tinggi.

Porter (1999) menyatakan kanak-kanak pintar cerdas memiliki domain kebolehan dalam intelektual, akademik, verbal, kemahiran bersosial, muzik, kemahiran fizikal, mencitrakan seni dan kecerdasan emosi (emotional intelligence). Beliau turut menerangkan cara untuk mengenal pasti kanak-kanak pintar cerdas yang berdomain intelektual, akademik, verbal, kecerdasan emosi dan kemahiran bersosial.

Manakala menurut Kamus Dewan edisi keempat (2010), pintar bermaksud “cekap, pandai, banyak akal, cerdik, licin dan mahir dalam membuat sesuatu pekerjaan” dan maksud cerdas pula adalah “sempurna akal untuk berfikir dan mengerti.” Oleh itu, kanak-kanak pintar cerdas ini dapat ditakrifkan sebagai kanak-kanak yang pandai dalam sesuatu perkara dan mempunyai pemahaman yang tinggi berbanding kanak-kanak normal.

Marland (1972), telah mengemukakan satu definisi pelajar pintar cerdas yang diterima pakai oleh Jabatan Pendidikan Negara, Amerika Syarikat pada tahun 1972. Definisi Marland, (1972), dalam S.Deborah, (1998: hal. 277) iaitu:

“Gifted and talented children are those identified by professionally qualified persons who by virtue of outstanding abilities are capable of high performance. These are children who require differentiated educational programs and services beyond those normally provided by the regular school program in order to realize their contribution to self and society. Children capable of high performance include those with demonstrated achievement and/or potential ability in any of the following areas singly or in combination:

a. General intellectual aptitude

b. Specific academic aptitude

c. Creative or productive thinking

d. Leadership ability

e. Visual and performing arts

Persekutuan Amerika Syarikat memberi maksud pintar cerdas ditujukan kepada kanak- kanak pelajar atau belia mereka yang mempunyai potensi dan pencapaian yang tinggi dari segi bidang seperti intelektual, kreativiti, artistik, kebolehan kepimpinan dan juga mempunyai bakat dalam bidang seni dan muzik yang mengagumkan, serta mereka ini memerlukan aktiviti atau perkhidmatan yang lain dari yang lain atau istimewa yang tidak dapat diperolehi di sekolah biasa demi meningkatkan tahap kebolehan mereka.

Defenisi bagi Negara Kanada, pintar cerdas ditakrifkan sebagai suatu darjah keupayaan intelektual yang luar biasa yang memerlukan pengalaman pembelajaran yang berlainan daripada apa yang disediakan di sekolah biasa untuk memenuhi tahap keupayaan akedemik dan potensi mereka.

Negara England pula mendefenisikan, pintar merujuk kepada 5 peratus teratas dari semua populasi sekolah di dalam bidang akedemik manakala cerdas pula adalah 5 peratus teratas dari semua bidang lain. Pelajar pintar adalah mereka yang memilki kebolehan tinggi untuk 1 atau lebih di dalam subjek akedemik. Mereka ini tidak perlu menjadi pintar untuk semua subjek. Pelajar cerdas pula adalah mereka yang mempunyai kebolehan tinggi dari segi sukan, muzik , lukisan atau seni persembahan.

Intellectual Quotient (IQ) yang tinggi iaitu berada pada tahap IQ 130 dan ke atas mengikut Public Law 91-230, seorang yang pintar cerdas dan berbakat adalah golongan yang dikenali sebagai seseorang yang layak secara professional yang secara kebajikannya mempunyai kebolehan yang terserlah. Golongan seperti ini memerlukan program pembelajaran yang berbeza dengan / atau perkhidmatan yang bertahap lebih tinggi berbanding dengan program-program yang dianjurkan oleh sekolah untuk pelajar-pelajar normal yang biasa. Program yang khusus adalah perlu bagi menyedari sumbangan mereka terhadap diri sendiri dan negara. Kanak-kanak yang mempunyai pencapaian yang cemerlang termasuk individu yang berpotensi serta berkebolehan dalam mana-mana enam bidang kecerdasan yang dinyatakan.

Menurut Susan K. Golant di dalam bukunya The Joys and Challenges Of Raising a Gifted Childs berpendapat, kanak-kanak yang pintar cerdas menunjukkan minat yang tinggi bagi belajar, curiga dan mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi kepada persekitaran serta berupaya menggabungkan beberapa maklumat dalam menghasilkannya. Umum pula mentakrifkan pintar cerdas sebagai kepandaian luar biasa yang dimiliki oleh individu yang dikatakan pintar cerdas ini. Mereka mempunyai kebolehan yang luar biasa memahami dan mengadaptasi segala cabaran persekitaran kepada hidup dan mindanya.

Ahli biologi mendefinisikan pintar cerdas sebagai kebolehan luar biasa yang dimiliki oleh seseorang individu untuk melakukan adaptasi dan manipulasi terhadap keadaan dan perubahan persekitaran. Pakar psikologi mendefinisikan istilah pintar cerdas sebagai kanak- kanak yang berupaya melakukan taakulan iaitu mempunyai kebolehan berfikir dengan logik dan mempunyai fungsi kognitif yang hebat. Kanak-kanak pintar ini berkebolehan mencari dan mengaitkan sebab musabab terhadap sesuatu fenomena yang abstrak.

Clark (2002) pula mendefinisikan "berbakat" sebagai label bagi perkembangan unggul untuk pelbagai fungsi otak. Menurut Clark, fungsi-fungsi ini mungkin berfokuskan kepada bidang kognitif, kreativiti, akademik, kepimpinan, mahupun seni. Pandangan Clark secara asasnya menekankan bahawa istilah berbakat adalah merujuk kepada aspek keupayaan semula jadi kanak-kanak, berbanding dengan aspek yang dipelajari, dan memberi makna yang hampir sama dengan perkataan “dikurniakan kebolehan atau kebolehan istimewa” (Webber 1984; 295), Clark (2002; 25). Walau bagaimanapun, Clark turut memberikan pandangannya bahawa perkembangan kecerdasan adalah bergantung pada interaksi antara biologi dan alam sekitar. Secara keseluruhannya, Clark menyimpulkan bahawa ‘berbakat’ merupakan kebolehan semulajadi dan adalah sebahagian daripada ciri-ciri pemprosesan maklumat yang diwarisi dan interaksi antara alam sekitar diperlukan oleh kanak-kanak untuk mengembangkan sifat tersebut.

Walau bagaimanapun, takrifan yang kurang formal bagi perkataan berbakat adalah bergantung kepada kumpulan ibu bapa dan pelajar berbakat itu sendiri. Russell, Hayes, dan Dockery (1988; 2) merumuskan definisi yang dicipta oleh pebagai pihak bahawa: "Giftedness ialah pemberian berharga atau kebolehan yang berpotensi untuk cemerlang yang membolehkan seseorang berinteraksi dengan persekitaran dengan tahap pencapaian dan kreativiti yang sangat tinggi." Pelajar berbakat Amanda Ashman (2000; 50) pula mendefinisikan berbakat sebagai, “tidak sesuatu yang boleh anda kembangkan. Anda dilahirkan dengan kapasiti untuk pengetahuan. Pembelajaran dan pemahaman datang secara semula jadi untuk mereka yang berbakat.”

Menurut Gagne (1995), individu dianggap sebagai pintar dalam bidang tertentu apabila dia mampu menampakkan potensinya dalam bidang tersebut. Kepintaran yang semulajadi ini, apabila dijana sepenuhnya akan menjadikan individu tersebut cemerlang dan dikenali sebagai individu yang berbakat. Namun, adakalanya individu ini didapati menghadapi situasi di mana dia terhalang atau tidak berpeluang untuk mempamerkan potensi semulajadinya. Hal ini mungkin disebabkan oleh faktor intrapersonal atau persekitaran yang tidak menyokong keperluan perkembangan pembelajarannya (Gagne, 1995). Justeru individu yang terbabit tidak akan mempamerkan sifat pintar dan berbakat sekiranya belum mencapai kesedaran peribadi (seperti; kesedaran fizikal dan psikologikal yang melibatkan elemen motivasi, kemahuan dan personaliti). Sifat pintar dan berbakat hanya akan terserlah apabila individu tersebut mempunyai kesedaran intrapersonal yang tinggi dan berada dalam persekitaran yang menyokong kepada pembangunan potensi dirinya, menerusi pendekatan pembelajaran yang mencabar minda seperti penggayaan, pecutan, dan pemampatan kurikulum.

Renzulli (2000), melihat kanak-kanak pintar dari perspektif Model Tiga Cincin yang meletakkan tiga ciri utama, iaitu kebolehan kognitif luar biasa, komitmen yang tinggi dalam tugasan, dan kreativiti yang tinggi. Ciri pintar dan berbakat ini bukan satu sifat yang tetap atau kekal, sebaliknya ciri ini sentiasa berubah mengikut keadaan dan persekitaran yang menyumbang kepada perkembangan kepintaran untuk menjadi individu berbakat. Gardner (1993), pula dalam Teori Kecerdasan Pelbagai melihat kepintaran daripada sembilan ciri kecerdasan iaitu; logik matematik, verbal linguistik, spatial ruang, kinestetik badan, muzik, intrapersonal, interpersonal, naturalis, dan existential. Sousa (2003), seterusnya melihat ciri kanak-kanak pintar dari aspek psikologi yang memfokuskan kepada aspek kognitif dan metakognitif, iaitu yang melibatkan penggunaan pemikiran aras tinggi dalam proses pembelajaran.

Konsep pelajar pintar dan berbakat menurut Pusat PERMATApintar Negara (PPpN), (2009) dilihat dari aspek sikap serta ciri peribadi yang memperkayakan dan menyokong pembangunan aspek kemampuan peribadi yang semula jadi. Individu Pintar dan Berbakat menurut perspektif PPpN ialah individu yang memiliki; (i) kemampuan dalaman yang semula jadi dari aspek kemahiran kognitif termasuk kebolehan menaakul, menyelesaikan masalah, dan merancang. Kebolehan kognitif yang baik dipamerkan menerusi kepantasan belajar dan kecekapan mengurus maklumat yang dipelajari; (ii) berpeluang berada dalam keadaan pintar, di mana individu bukan sekadar mempunyai kebolehan kognitif yang tinggi malah boleh menggunakan kemampuan tersebut dengan baik, menerusi persekitaran yang sesuai lagi menyokong. Persekitaran yang menyokong melibatkan pelbagai pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang mampu mencabar minda seperti pembelajaran pengayaan, pecutan, dan pemampatan kurikulum; dan (iii) sikap serta ciri peribadi yang memuaskan adalah penting dalam memperkaya dan meyokong pembangunan aspek kemampuan diri yang semula jadi yang ada pada diri individu tersebut sehingga berjaya mencapai tahap berbakat. Ciri-ciri tersebut merangkumi sikap mesra masyarakat, cermat dan teliti dalam bertindak. Selain itu, sifat individu ini berupaya mempengaruhi orang lain kerana mempunyai kemahiran daya membujuk, berwibawa kepimpinan, dan mahir berkata-kata yang kesemuanya turut menyumbang kepada pembangunan diri untuk menjadi dia individu pintar dan berbakat (Rosadah, Noriah, Melor, 2009).

Berdasarkan definisi dan takrifan daripada pelbagai pihak tentang pintar cerdas dan berbakat, dapat disimpulkan bahawa individu pintar cerdas dan berbakat dapat ditakrifkan mengikut pandangan seseorang individu namun apa yang pasti istilah ‘pintar cerdas dan berbakat’ merujuk kepada golongan yang mana mempunyai pencapaian tahap Intelligence Quotient (IQ) melepasi aras 120, dan mempunyai kapasiti tahap pemikiran yang luas dan tinggi. Cara terbaik untuk mengenal pasti pintar cerdas adalah berdasarkan percapaian yang tinggi dalam sesuatu bidang melalui rujukan guru, ibu bapa, dan disokong data dari ujian IQ. 


JENIS KANAK-KANAK PINTAR CERDAS DAN BERBAKAT

Terdapat enam jenis kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat yang telah dikenal pasti (Betts & Neihart, 1988).

1. 

Jenis pertama merupakan kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat yang paling senang dikenal pasti adalah mereka yang berbakat. Kanak-kanak dari kategori ini disukai guru dan rakan-rakan sebaya serta mencapai hasil tahap yang tinggi. Mereka lebih suka bergantung pada orang lain berbanding berdikari. Dalam pada itu, mereka juga tidak suka mengambil risiko. Mereka juga tidak suka mengembangkan autonomi dan sebenarnya mereka boleh mencapai sesuatu dengan lebih tinggi jika mereka lebih menentukan hala tuju diri sendiri dan juga tidak bergantung pada orang lain dalam kehidupan seharian mereka.

Lihat juga pautan: http://www.jadeannrivera.com/the-six-types-of-gifted-child-the-successful/

 2. 

Jenis kedua ialah pencabar. Dalam kategori ini kebiasaannya kanak-kanak ini lebih kreatif. Signifikasi daripada kekurangan sokongan untuk kanak-kanak yang kreatif boleh mengakibatkan tingkah laku yang degil dan memberi cabaran-cabaran untuk guru dan ibu bapa. Justeru, para guru dan ibu bapa perlu bijak dalam menguruskan kanak-kanak ini. Cara yang paling baik untuk membantu kanak-kanak kategori ini ialah sentiasa memberi motivasi dan memahami emosi mereka. Ini akan membantu kanak-kanak pintar cerdas lebih memahami diri mereka dan situasi yang dialami.

 Lihat juga: http://www.jadeannrivera.com/the-six-types-of-gifted-child-the-challenging/

3.  

Jenis ketiga ialah kanak-kanak ‘bawah tanah’ atau bersembunyi di mana kanak-kanak cuba untuk menyembunyikan kepintaran mereka. Kebiasaan kanak-kanak jenis ini adalah kanak-kanak perempuan yang sedang bersekolah. Mereka sering berasa cemas dan tidak selamat. Hal ini terjadi kerana satu konflik dialami antara sosial dan kejayaan akademik. Jenis ini juga sentiasa mengalami kemurungan kerana wujudnya ketidakyakinan dalam jiwa mereka untuk mengetengahkan bakat yang mereka miliki. Kanak-kanak ini perlu dibantu bagi mengembangkan potensi serta bakat yang ada pada mereka.

Lihat juga: http://www.jadeannrivera.com/the-six-types-of-gifted-child-the-underground/

 4. 

Jenis keempat adalah kanak-kanak yang keciciran. Kanak-kanak ini mempunyai pencapaian rendah sepanjang masa dan memerlukan program sokongan yang cukup banyak untuk meningkatkan pencapaian pendidikan. Pencapaian rendah boleh dihasilkan disebabkan mereka tidak mempunyai dorongan motivasi yang dipengaruhi oleh program-program yang tidak sesuai untuk mereka. Kanak-kanak pintar cerdas jenis ini seringkali diabaikan kerana sering beranggapan mereka adalah kanak-kanak lembab walhal mereka adalah golongan yang mempunyai IQ yang tinggi. Apa yang diperlukan ialah program khas yang bersesuaian dengan bakat mereka.

Lihat juga: http://www.jadeannrivera.com/the-six-types-of-gifted-child-the-angry/

 5. 

Jenis kelima dipanggil label berganda iaitu kanak-kanak yang mempunyai kesulitan pembelajaran fizikal atau emosional. Oleh itu, mereka kurang diberi perhatian dan potensi serta bakat mereka dibiarkan. Misalnya, seorang kanak-kanak pintar cerdas yang kurang upaya dari aspek fizikal mungkin kecerdikan yang dimilikinya tidak dipeduli oleh orang lain kerana dilabel sebagai seorang kurang upaya dan sering dipinggirkan.

Lihat juga: http://www.jadeannrivera.com/the-six-types-of-gifted-child-the-twice-exceptional/

 6. 

Jenis keenam ialah kanak-kanak berautonomi. Kanak-kanak jenis ini ialah kanak-kanak yang mempunyai cara tersendiri dan tidak bergantung pada orang lain. Kanak-kanak ini akan terus berkembang jika terdapat program-program pendidikan yang bersesuaian disediakan untuk mereka (Betts & Neihart, 1988). Kanak-kanak jenis inilah yang seringkali Berjaya seperi Adi Putra, Safiah, Amalina dan beberapa orang lagi.

Lihat juga: http://www.jadeannrivera.com/the-six-types-of-gifted-child-the-autonomous/


CONTOH INDIVIDU PINTAR CERDAS DAN BERBAKAT MALAYSIA



       
Di dalam sistem pendidikan di Malaysia, murid pintar cerdas dan berbakat didefinisikan sebagai murid yang mempunyai keupayaan berprestasi cemerlang disebabkan kebolehan mereka yang tinggi berbanding dengan murid yang seumur dengannya. Mereka juga lulus penilaian tahap kecerdasan atau keupayaan yang ditetapkan oleh KPM dan mereka memerlukan pendekatan yang khusus dalam pendidikan. Justeru, pelajar pintar cerdas dan berbakat merupakan seorang pelajar yang terbukti cemerlang atau seorang yang berpotensi dalam bidang akademik atau dalam bidang-bidang lain seperti muzik, bahasa, kepimpinan dan lain-lain.

Pendidikan pelajar pintar cerdas di Malaysia bermula semula pada tahun 2007 apabila seorang kanak-kanak pintar cerdas matematik, Adi Putra Abd. Ghani menjadi perhatian media massa. Beliau telah diuji tahap kepintarannya oleh Prof. Madya Dr. Noriah Mohd. Ishak seorang pakar kaunseling dan psikologi dan Dr. Rosadah Abd. Majid seorang pakar bidang bidang pendidikan khas untuk kanak-kanak pintar cerdas dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Adi Putra didapati mempunyai kepintaran yang superior dalam beberapa bahagian matematik. Adi Putra kemudiannya telah ditawarkan beberapa pilihan program pembelajaran berbentuk pecutan dan pengayaan oleh beberapa buah universiti tempatan. Ini merupakan titik tolak kepada permulaan program pendidikan kanak-kanak pintar cerdas di Malaysia selepas program PTS yang diperkenalkan pada tahun 1996 yang telah ditamatkan selepas lima tahun diperkenalkan dalam sistem pendidikan di negara kita.

Terdapat beberapa contoh individu pintar cerdas dan berbakat dari negara Malaysia yang telah dilahirkan secara semula jadi sebagai seorang yang genius dan mempunyai kepintaran luar biasa. Antaranya adalah seperti berikut:


Sufiah Yusof

Sufiah Yusof yang lahir pada tahun 198ialah seorang genius Matematik yang lahir di United Kingdom. Beliau pertama kali menjadi bahan berita hangat pada tahun 1997 apabila melayakkan diri ke Kolej St. Hilda, Universiti Oxford untuk mempelajari bidang matematik pada usia 13 tahun. Beliau merupakan anak kepada seorang lelaki kelahiran Pakistan, Farooq Yusof dan isterinya, Halimaton Yusof, kelahiran MuarJohor.

       Meskipun berwarganegara British, kerajaan Malaysia tampil ke hadapan untuk membiayai perbelanjaan pendidikan Sufiah, meskipun dimaklumkan bahawa bapanya yang berketurunan Pakistan pernah disabitkan kesalahan jenayah kerana penipuan berkenaan gadai janji sama sekali tidak menjejaskan reputasi SufiahIni kerana, rakyat Malaysia memandang tinggi dengan keupayaan luar biasa yang dimilikinya.


Mohamed Shukri Hadafi Aziz

Mohamed Shukri Hadafi merupakan kanak-kanak pintar yang pernah menggemparkan negara sekitar 1980-an. Pada usia semuda tiga tahun, beliau telah mampu membaca surat khabar dengan lancar seperti orang dewasa.

Shukri merupakan anak kepada Aziz Kechik, seorang peneroka di Felda 12, Jengka Pahang. Selepas itu, pasangan suami isteri yang tinggal di Merbau Pulas, Kedah telah mengambil beliau sebagai anak angkat.

Malah, kepintaran Shukri telah berjaya menarik perhatian Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz dan turut mengambil Shukri sebagai anak angkatnya. Dengan anggapan mahu menjadikan Shukri sebagai pelapis yang hebat sepertinya, Ungku Aziz telah menanggung segala perbelanjaan bagi keperluan pembelajaran demi memastikan Shukri mendapat pendidikan yang lebih baik.

Selain itu, pengarah filem terkenal. Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin pada ketika itu juga telah mengambil beliau berlakon dalam filem Menanti Hari Esok disamping penghibur tanah air terkenal seperti Noor Kumalasari, DJ Dave dan Uji Rashid.


Chiang Ti Ming

Chiang Ti Ming merupakan pelajar termuda di California Institute of Technology (CalTech). Seawal umur 15 tahun pada ketika itu, beliau juga berada dalam kalangan “Top 5” yang mendapat keputusan terbaik.

Bukan itu sahaja, Chiang turut berjaya menjadi pelajar termuda yang menerima “Anugerah Merit Pelajar Sarjana Muda” selama dua tahun berturut-turut di institusi berprestij itu.

Malah, Chiang juga merupakan ahli kehormat Tau Beta Phi, iaitu sebuah persatuan kejuruteraan kebangsaan. Pada usia 13 tahun, beliau juga telah diterima untuk belajar di tahun kedua bagi kos ijazah Fizik selama empat tahun di universiti berkenaan pada tahun 1989, selepas menerima tajaan daripada beberapa organisasi.

Disebabkan kepintarannya yang luar biasa itu, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di peringkat PhD dalam bidang fizik zarah di Universiti Cornell, New York.


Nur Fitri Azmeer Nordin

Nur Fitri Azmeer Nordin merupakan seorang paling genius dalam jurusan matematik di Malaysia dan menuntut di Imperial College London dengan kos pengajian di taja oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).


Adi Putra Abdul Ghani

Adiputra Abdul Ghani merupakan seorang kanak-kanak genius matematik yang mampu menyelesaikan pebagai masalah dalam subjek matematik seperti algebra, indeks dan trigonometri.

Biarpun baru berumur 6 tahun pada ketika itu, Adi Putra mengakui kepintaran luar biasa yang dimilikinya itu adalah kurniaan Allah untuknya. Beliau dinobatkan sebagai Ahli Matematik Islam abad ke-21 oleh Universiti Riau di Indonesia pada tahun 2009.

Selain itu, Adi juga telah menghasilkan 235 formula matematik dan 12 daripadanya telah diterbitkan dalam sebuah buku berjudul “Seni Matematik Islam”. Lebih membanggakan, buku tersebut juga telah digunakan sebagai rujukan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah di negara Brunei.

Sungguhpun beliau tidak mendapat sebarang sijil, sekaligus gagal untuk memasuki sebarang universiti terbaik luar negara kerana beliau telah nekad untuk berhenti belajar disebabkan sistem pendidikan yang tersedia tidak sesuai dengannya, namun Adi Putra masih sering memberikan ceramah di sekolah dan universiti tempatan. Malah, beliau juga dijemput untuk menjadi tenaga pengajar di University of Brunei Darussalam bagi berkongsi kepakarannya tentang ilmu matematik.


Nurussyahamah Taqiah binti Nurunnajmi


Nurussyahamah Taqiah bt. Nurunnajmi (Pintar Al-Quran – Qhatam Al-Quran seawal usia 5 tahun dan merupkan tahfizah termuda di Malaysia, mahir tiga bahasa – Melayu, Inggeris dan Arab). 


Bagaimanakah dengan kisah kehidupan mereka sekarang? Lawati pautan berikut untuk kisah mereka. https://iluminasi.com/bm/5-pelajar-genius-malaysia-ini-patut-dijadikan-iktibar.html

0 comments:

Post a Comment