Perbezaan setiap individu adalah anugerah Tuhan, lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak pintar cerdas. Kanak-kanak pintar cerdas sememangnya memperlihatkan kelebihan intelek yang luar biasa berbanding rakan sebaya mereka. Pada masa yang sama, kelebihan ini menimbulkan pula beberapa masalah lain dalam hidup mereka. Sebagai golongan minoriti, masalah mereka mungkin tidak difahami dan tidak dipedulikan oleh orang ramai. Masalah berkenaan sebenarnya berpunca daripada sifat unik yang ada pada diri mereka. Antaranya, konsep kendiri, fobia, perkembangan nilai/moral, keupayaan yang tidak seimbang, masalah kemahiran bersosial dan masalah mengembangkan potensi. Pada masa yang sama, faktor persekitaran seperti masalah komunikasi diskriminasi terhadap golongan ini, masalah keluarga, masalah tidak dapat menyesuaikan diri dengan sistem persekitaran dan pandangan orang lain terhadap mereka menyebabkan masalah mereka yang sedia ada semakin bertambah.
MASALAH SOSIO-EMOSI SEBAGAI KONFLIK
Melabelkan kanak-kanak sebagai pintar cerdas tidak membantu kita memahami apa yang dialami oleh mereka sendiri. Bagi orang kebanyakan, perasaan dalaman golongan pintar cerdas masih dianggap misteri dan rahsia yang hanya dikongsi sesama mereka sendiri. Konflik bukan sesuatu yang asing bagi mereka yang pintar cerdas. Semakin mereka menjadi siapa diri mereka, semakin besar konflik mereka dengan orang lain.
Kanak-kanak pintar cerdas dikatakan mengalami perkembangan asynchronous apabila perkembangan fizikal, intelek, emosi dan sosialnya tidak sekata dan setara dengan usianya. Sebagai contoh, kanak-kanak berumur enam tahun yang mempamerkan tingkahlaku yang setara dengan usia tetapi mempunyai kemampuan intelek seperti kanak-kanak 12 tahun atau kanak-kanak yang menunjukkan perkembangan sosialnya yang setara dengan umur 10 tahun tetapi mungkin mempunyai tahap emosi seperti enam tahun. Akibat dari perkembangan yang tidak sekata ini, kanak-kanak pintar cerdas yang boleh memahami secara intelek mengenai perkara abstrak yang lebih tinggi dari kemampuan rakan sebayanya, didapati tidak mampu menangani perkara yang melibatkan emosi pada tahap ini. Ketidakmatangan kanak-kanak ini dalam menangani isu emosi pada usia yang muda akan membawa mereka ke arah kebimbangan terhadap kematian, masa hadapan, seksual dan isu lain yang lebih tinggi dari tahap perkembangan emosi sebenar mereka.
Ini tidak ketinggalan dalam aspek perkembangan fizikal kanak-kanak pintar cerdas ini yang bakal membatasi pergerakan atau kemampuan mengerjakan serta menyelesaikan sesuatu tugasan yang dirasakannya begitu mudah diselesaikan dalam gambaran intelek mereka. Kanak-kanak ini juga lebih gemar melibatkan diri dalam perbualan dengan orang dewasa mengenai isu-isu global dan mampu untuk berdebat dengan baik dalam menyuarakan pendapat atau pandangan mereka dalam isu tersebut. Tetapi dari segi aspek emosi mereka akan menangis atau merajuk sekiranya mereka berebut ketika bermain ataupun alat permainan mereka diambil oleh seseorang.
Sikap mementingkan kesempurnaan yang tinggi boleh mendorong kanak-kanak ini ke arah takut kepada kegagalan. Ini akan menjadikan mereka seorang yang cepat berputus asa kerana tidak mampu melaksanakan tugasan dalam tempoh yang ditetapkan. Kanak- kanak ini memerlukan maklumat yang lengkap sebelum menjawab sesuatu soalan atau menyiapkan tugasan yang diberikan. Mereka lebih suka meluangkan masa mereka melakukan aktiviti yang mereka sukai seperti membaca atau menyelesaikan masalah dari bersosial dengan rakan sebaya yang dianggap tidak setara dari aspek perkembangan intelek.
Selain dari itu, kanak-kanak ini mempunyai perasaan sensitif yang tinggi terhadap perkara yang melampaui tahap pemikirannya yang masih muda seperti isu peperangan, kebuluran, pencemaran, ketidakadilan dan keganasan. Malangnya, jika mereka terlampau memikirkan isu global ini secara mendalam, mereka akan menjadi seorang yang introvert dan mungkin menjurus ke arah kemurungan yang teruk di masa akan datang.
Akibat dari perkembangan intelek yang tidak setara dengan rakan sebaya, kanak-kanak ini akan menghadapi masalah sosial dan emosi bukan sahaja dengan rakan sebaya tetapi juga dalam kalangan orang dewasa yang setara dengan tahap inteleknya. Tahap kepintaran yang tinggi ini menyebabkan mereka tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya sistem pendidikan sedia ada di sekolah. Keadaan ini berlaku kerana keperluan dan tahap motivasi mereka berbeza dengan rakan sebaya iaitu perkembangan kebolehan intelek yang jauh lebih tinggi. Perbezaan ini menimbulkan beberapa konflik dalam hidup mereka terutamanya dari aspek pendidikan yang sesuai dengan kepintaran mereka dan juga perkembangan sosial dan emosi yang setara dengan usia mereka.
Biasanya, semakin tinggi tahap kecerdasan seseorang maka semakin tinggilah keperluan kaunseling yang patut diberikan kepadanya (Davis & Rimm, 1998).Kanak-kanak pintar cerdas adalah satu golongan yang heterogeneous. Mereka yang lebih tinggi tahap kecerdasannya berbanding kanak-kanak lain menghadapi masalah dalam penyesuaian diri berbanding kanak-kanak lain (Bee, 1999). Ini adalah kerana sebahagian dari mereka memiliki ciri-ciri yang selalunya wujud apabila meningkat dewasa. Disebabkan mereka ini matang dalam beberapa aspek berbanding dengan rakan sebaya yang lain, maka mereka lebih selesa dengan orang yang lebih berumur dari mereka tetapi mempunyai tahap kepintaran yang sama dengan mereka.
Sungguhpun begitu, ketika berdepan dengan masalah perbezaan tersebut, kanak-kanak ini akan mengalami kemurungan kerana gagal menghadapi kemahiran sosial yang sesuai dengan tahap kepintaran mereka. Oleh itu ada di antara mereka menggunakan strategi yang kurang bijak seperti berpura-pura tidak bijak dengan berusaha tidak mencapai tahap pencapaian yang sebenarnya. Selain itu, mereka juga akan melupakan keperluan sosial dengan memilih untuk tidak berkomunikasi atau berinteraksi dengan rakan sebaya (Rimm, 2008). Keadaan ini membawa kepada satu masalah sosial dan emosi kanak-kanak pintar cerdas yang menuntut perhatian dari ibu bapa di rumah dan juga guru di sekolah.
CABARAN DAN MASALAH YANG DIHADAPI OLEH KANAK-KANAK PINTAR CERDAS
Ramai golongan masyarakat berpandangan bahawa seorang yang pintar cerdas merupakan
seorang yang sentiasa berjaya dalam segala yang mereka lakukan tanpa ada sebarang masalah.
yang tinggi serta suka bertindak dengan terburu-buru dalam melakukan sesuatu perkara.
Kanak- kanak pintar cerdas sering menghadapi masalah dengan rakan sebaya mereka. Mereka selalu berhadapan dengan masalah hasad dengki, bukan disebabkan mereka dapat mencapai kejayaan akademik dengan senang tetapi juga akibat sikap mereka sendiri yang kuat cemburu. Dengan kata lain, mereka senang dicemburui, pada masa yang sama akibat sifat suka bersaing mereka juga tidak menerima baik situasi diatasi oleh orang lain. Ini ditambahkan pula dengan masalah mereka sukar menjadi rapat dengan rakan sebaya. Hubungan yang renggang menjadi pemangkin kepada hasad dengki. Kanak-kanak pintar cerdas juga selalu dikagumi kerana kebolehan yang luar biasa, tetapi keadaan ini juga menjadikan mereka senang dicemburui oleh orang lain.
Pencapaian kanak-kanak pintar cerdas yang begitu tinggi juga selalunya menimbulkan perasaan kurang senang pada rakan-rakan di sekelilingnya. Perasaan rendah diri ini menjadikan kanak-kanak lain menjauhkan diri daripada kanak-kanak pintar cerdas demi mempertahankan harga diri mereka sendiri. Keadaan ini akan menjadikan kanak-kanak pintar cerdas seolah-olah diboikot, walaupun dia tidak berbuat salah. Kanak-kanak pintar cerdas masih kecil, mereka tidak boleh memahami kenapa dirinya dijauhi oleh kawan. Malah dia sendiri juga berasa bosan dengan rakan sebaya dan mengasingkan diri. Faktor-faktor ini menjadikan isu sosial satu cabaran besar yang perlu mereka hadapi.
Dalam akademik pula, mereka sememangnya sering mendapat keputusan yang cemerlang.
kanak-kanak tersebut berasa gembira dan bangga dan menganggap mereka mampu menguasai
Kanak-kanak yang pintar kebanyakannya berkebolehan dalam bidang yang terhad sahaja.
Sebagai contoh, kebanyakan kanak-kanak pintar cerdas yang mempunyai kecerdasan dalam bidang
matematik tidak dapat menguasai subjek yang lain dengan baik. Ini menunjukkan bahawa kebolehan
yang mereka miliki selalunya hanya berfokus kepada satu bidang sahaja. Dari segi tingkah laku pula,
golongan ini sangat sensitif dan mudah tersinggung apabila dikritik atau ditegur. Mereka amat
mementingkan kesempurnaan dan sentiasa ingin berjaya tetapi dari pandangan orang lain mereka ini
dilihat sebagai seorang yang degil. (Bob Algonzine dan Jim Ysseldyke, 2006).
Bagi golongan pendidik, masalah yang timbul ialah apabila mereka sendiri tidak mempunyai pengetahuan tentang bagaimana untuk mengendalikan hal-hal yang berkaitan dengan pembelajaran kanak-kanak pintar cerdas. Ini adalah kerana mereka tidak diberi latihan tentang bagaimana untuk menyokong kanak-kanak pintar cerdas ini. Golongan pintar cerdas adalah golongan yang berpotensi memberi sumbangan besar kepada kemajuan dan kesejahteraan masyarakat. Sebagaimana yang kita fahami, fungsi pendidikan adalah untuk mengembangkan potensi yang ada pada setiap pelajar selain memenuhi keperluan setiap individu pelajar untuk berkembang. Jika kita melihat dari perspektif pendidikan berpusatkan pelajar(student-centered), kita akan mendapati pendidikan adalah usaha-usaha untuk memenuhi keperluan perkembangan diri pelajar dan dalam aspek inilah pelajar pintar cerdas memerlukan bantuan dan bimbingan pendidik. Biasanya, sekolah gagal memberi perhatian yang wajar kepada pelajar pintar cerdas kerana menganggap mereka tidak perlu diberi program pendidikan dan bimbingan yang khusus (Gallagher & Gallagher, 1994). Berikut adalah gambaran keadaan guru yang merasa tertekan untuk mengakui keupayaan kanak-kanak pintar cerdas:
Guru biasanya berasa ragu-ragu kepada kemahiran matematik yang luar biasa pada tahap ini. Mereka mungkin menganggap kebolehan memanipulasikan nombor ini tidak berpadanan dengan pemahaman yang secukupnya. Mereka juga berasa gelisah tidak menyediakan latihan secukupnya kepada pelajar tersebut dan takut dipersoalkan oleh ibu bapa. lni menjadikan guru tetap memberi latihan yang sama kepada semua pelajar walaupun ini bermakna pelajar pintar cerdas hanya mengulangi sesuatu yang telah sedia dikuasai (Leyden, 1998, ms. 36).
Kebanyakan masalah emosi kanak-kanak pintar cerdas sama ada dalam bidang akademik mahupun persekolahan adalah disebabkan kegagalan pendekatan pendidikan sedia ada dan juga kurangnya kesedaran guru. Biasanya, guru kurang senang terhadap kanak-kanak yang kreatif. O1eh itu, jika kanak-kanak pintar cerdas tidak diberi pendedahan yang sepatutnya bermakna potensi yang ada pada mereka sukar untuk dikembangkan. Di sekolah, terdapat sebilangan guru tidak memiliki semangat akademik yang baik, antaranya, guru tersebut mungkin memberi golongan pelajar ini maklumat-maklumat yang tidak berkaitan dan tidak memberangsangkan, selain tugasan yang diberi menjadikan golongan pelajar ini lebih derita seperti kerja salin-menyalin atau menghafal fakta yang tidak dapat dikaitkan dengan pengalaman pelajar. Tugasan salin-menyalin sebenarnya merupakan suatu bentuk penyeksaan mental yang baharu terhadap golongan pelajar tersebut kerana tugasan seumpama itu hanya melatih kemahiran-motor-halus mereka dan bukannya kemahiran berfikir mereka. Kadang-kadang, tugasan yang diberi guru tidak sesuai dengan keperluan (motivasi intrinsik) mereka yang sentiasa ingin tahu/mengkaji sesuatu topik dengan lebih mendalam. Faktor tersebut menjadikan pelajar pintar cerdas tidak suka kepada sekolah.
Kadang-kadang, guru menambah jumlah tugasan pelajar lebih daripada biasa. Sebenarnya,
cara ini tidak sesuai dilakukan terhadap golongan pelajar ini kerana mereka memerlukan cabaran
kualiti (antaranya, sesuatu konsep yang lebih mencabar) dan bukannya cabaran kuantiti. Contohnya,
jika guru meminta pelajar ini menulis lima artikel mengenai lima topik, sudah pasti tugasan sebegini
membosankan dan menjadikan mereka serba salah kerana mereka perlu memberi fokus terhadap
setiap topik, selain terpaksa membuat kajian terperinci atau intensif. Bagaimanapun, tugasan yang
lebih sesuai antaranya meminta mereka menulis satu artikel mengenai satu tajuk yang memang
menarik minat mereka. Dalam soal menyiapkan tugasan, selain memberi mereka galakan supaya
menyiapkan tugasan mereka dengan sebaik mungkin, golongan pelajar ini perlu diberi kebebasan
dalam menentukan had masa menyiapkan tugasan. Ini kerana motivasi intrinsik adalah pendorong
yang kuat terhadap tingkah laku mereka: "Kanak-kanak pintar cerdas perlu menikmati autonomi,
autoriti dan kebebasan untuk membuat keputusan sendiri. Namun kebebasan ini perlu digabungkan
dengan amanah" (Nik Azis Nik Pa, 1990, ms. 61).
Kehadiran seorang individu pintar cerdas dalam rumah memberi kesan yang mendalam dan berpanjangan terhadap sesebuah keluarga. Di negara membangun seperti Malaysia, masalah mungkin berlaku apabila ibu bapa tidak memahami anak yang pintar cerdas. Di antara isu yang sering dibangkitkan di kalangan kanak- kanak pintar cerdas ialah bagaimana ibu bapa mengenalpasti bakat mereka serta bagaimana mereka mempertimbangkan kemungkinan yang akan berlaku pada kanak-kanak pintar cerdas tersebut. Selain daripada itu, mereka juga berhadapan dengan kebimbangan tentang keperluan sosial dan emosi, pendidikan yang sesuai untuk mereka serta tentang pergaulan anak-anak tersebut.
Kebanyakan ibu bapa kanak- kanak pintar cerdas mengalami kekeliruan mengenai gelaran “pintar cerdas” yang diberikan kepada anak-anak mereka. Mereka perlu diberi pendedahan tentang pemilihan sekolah yang berprestij dan sesuai untuk anak-anak pintar cerdas. Jika tidak, mereka akan sering risau dan tidak berpuas hati berkenaan pendidikan yang diberi pada masa kini kerana ia tidak relevan dengan pendidikan pada masa akan datang. Kerisauan ini berlarutan apabila sekolah menjadi tempat yang dibenci oleh anak-anak mereka kerana kanak-kanak tersebut beranggapan bahawa sistem akademik yang disediakan sudah tidak bermakna lagi buat mereka. Ini berkemungkinan boleh mendatangkan pertelingkahan apabila mereka mendesak pihak sekolah untuk menyediakan pendidikan terbaik untuk anak-anak mereka dan sering menggunakan gelaran pintar cerdas terhadap anak mereka yang pintar untuk mendapat layanan istimewa daripada pihak sekolah. Adakalanya mereka merasakan bahawa orang lain menganggap mereka terlalu mendesak sekiranya ingin mendapatkan perkhidmatan terbaik untuk anak-anak mereka yang pintar cerdas.
Segelintir ibu bapa kanak-kanak pintar cerdas mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dengan ibu bapa yang tidak mempunyai kanak-kanak pintar cerdas kerana masalah yang dihadapi oleh mereka adalah berbeza. Ada juga ibu bapa yang mempunyai anak pintar cerdas berhadapan dengan keadaan di mana adanya perasaan cemburu atau iri hati di kalangan orang lain yang tidak mempunyai anak pintar cerdas. Ini adalah kerana kanak-kanak pintar cerdas selalu dikagumi dan mendapat pujian kerana kebolehan yang luar biasa. Keadaan ini menjadikan mereka senang dicemburui oleh orang lain kerana sering mendapat pujian.
Di negara-negara timur, biasanya hubungan kekeluargaan adalah rapat dan ini menyebabkan ibu bapa lebih cenderung untuk mengawal kebebasan anak-anak mereka. Ciri-ciri masyarakat timur juga lebih mementingkan pencapaian akademik, misalnya, dalam budaya Asia Timur, pelajar didesak oleh ibu bapa supaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Dengan kata lain, mengawal kebebasan anak-anak supaya mereka memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan bertujuan memenuhi kehendak ibu bapa. Sementara ibu bapa kepada kanak-kanak pintar cerdas yang tidak memiliki kesedaran mengenai keadaan anak-anak mereka mungkin lepas tangan dalam mengikuti perkembangan anak mereka. Keadaan mungkin lebih serius di kalangan kanak-kanak pintar cerdas yang mempunyai latar belakang sosio-ekonomi yang rendah. Kanak-kanak sebegini mungkin juga menghadapi masalah dengan adik-beradik. lni berlaku terutamanya dalam budaya/keluarga yang lebih mementingkan persaingan dan individualistik. Kanak- kanak sebegini akan menghadapi masalah dengan keluarga mereka sekiranya keluarga mereka amat berbeza dengan lain-lain keluarga. Contohnya, perkembangan moral dan nilai universal yang matang awal(precocious) mungkin mendorong seorang kanak-kanak menjadi vegetarian (orang yang tidak makan sumber makanan daripada haiwan) yang mungkin menjadi punca konflik dalam keluarga. Sementara pencapaian akademik yang tinggi kanak-kanak sebegini menjadikan adik-beradik yang lain merasa rendah diri. Ini akan memberi kesan kepada hubungan kekeluargaan. Kebanyakan konflik seumpama itu berlaku kerana wujud salah faham orang lain terhadap golongan kanak-kanak ini disebabkan hanya wujud sedikit kesedaran masyarakat terhadap golongan kanak-kanak ini, selain faktor salah faham golongan ini terhadap diri mereka sendiri. Kajian menyatakan bahawa adik beradik lain kanak- kanak pintar cerdas akan mempunyai keyakinan diri yang rendah, kelemahan pengurusan emosi dan kebimbangan yang melampau.
Sebilangan besar golongan pintar cerdas tidak memahami diri mereka sendiri kerana ibu bapa mereka dan guru-guru tidak mendapat pendedahan mengenai golongan ini. Misalnya, kita selalu mengaitkan golongan pintar cerdas dengan pencapaian akademik yang tinggi sedangkan sebahagian daripada mereka tidak menunjukkan pencapaian yang baik dalam pelajaran berbanding dengan potensi yang sedia ada pada mereka. Oleh itu, pencapaian mereka menjadi bawah-pencapaian-pintar-cerdas (gifted underachiever). Satu lagi tanggapan yang salah dewasa ini ialah dakwaan kononnya golongan ini sangat jarang ditemui.
Bagi mereka yang memiliki kecerdasan intrapersonal yang tinggi dan menyedari apa yang berlaku terhadap diri mereka sentiasa berusaha mengatasi masalah tersebut walaupun perubahan yang mereka alami hanya sedikit. Kesunyian menjadi perkara biasa dalam hidup mereka kerana idea-idea mereka tidak dapat dikongsi atau diterangkan oleh orang lain. Masalah komunikasi yang serius seperti ini berlaku terutamanya pada mereka yang sangat berlainan daripada orang kebanyakan. Biasanya, idea-idea radikal mereka yang menjadikan orang lain terpaku apabila mendengarnya, sukar diterima orang lain. Kelainan mereka menyebabkan orang ramai menjauhi mereka. Sebenarnya, golongan pintar cerdas adalah tergolong dalam kalangan heterogeneous. Mereka tidak semestinya boleh cepat menjadi kawan walaupun di kalangan golongan mereka sendiri, sekalipun mereka mungkin lebih memahami satu sama lain.
Sebagai golongan heterogeneous, kanak-kanak pintar cerdas yang berada dalam kategori yang lain (sub-kategori heterogeneous) menghadapi masalah yang berbeza daripada apa yang te1ah dibincangkan sebelum ini. Misalnya, seorang kanak-kanak pintar cerdas yang kurang upaya dari aspek fizikal mungkin kecerdikan yang dimilikinya tidak dipedulikan orang lain kerana dilabel sebagai orang kurang upaya. Begitu juga keadaan seorang kanak-kanak yang pintar cerdas dalam bidang seni visual mungkin ia tidak diberi bimbingan dan galakan yang sewajamya kerana ia mengalami masalah ADHD (Attention Deficit Hyperactivity Disorder). Apatah lagi, bagi kanak-kanak pintar cerdas yang memiliki kepelbagaian kepintaran, sudah pasti merumitkan lagi keadaan. Dapatan kajian Moon, Zentall, Grskovic, Hall, dan Stormont (2001) menunjukkan sampel yang mengalami masalah kepintarcerdasan dan ADHD menghadapi masalah emosi, pergaulan sosial, dan keluarga. Kepintarcerdasan telah memburukkan lagi masalah sosial/emosi yang ada kaitannya dengan ADHD.
Satu lagi sub-kategori heterogeneous di kalangan pelajar pintar cerdas adalah mereka yang mengalami masalah pembelajaran(learning disability) bahasa (disleksia) atau matematik. Guru mungkin menganggap pelajar sebegini lembab. Ini menyebabkan bakat yang sedia ada pada mereka terkubur begitu sahaja sedangkan seorang pelajar yang bermasalah dalam pengiraan matematik mungkin pada masa yang sama memiliki kefahaman yang tinggi dalam matematik. Sekiranya pendekatan mengatasi masalah pembelajaran sebegini tidak didedahkan kepada ibu bapa dan guru-guru bermakna akan hilanglah seorang pakar dalam bidang matematik. Sementara seorang kanak-kanak yang bermasalah ejaan pula mungkin memiliki bakat yang tinggi dalam bidang kesusasteraan.
0 comments:
Post a Comment