Sunday, April 3, 2022

FAKTOR PENYEBAB KANAK-KANAK PINTAR CERDAS DAN BERBAKAT

Edit Posted by Cikgu Jusren, Cikgu Lozinah, Cikgu Vezlin with No comments


Perkembangan individu pintar cerdas dan berbakat ini dapat dilihat dan diperhatikan sejak kecil lagi. Antara perkembangan yang dikaitkan dengan golongan ini adalah perkembangan fizikal, perkembangan emosi dan juga sosial. Pada pandangan mata kasar masyarakat mereka tidak mempunyai masalah dalam setiap peringkat perkembangan, namun pada hakikatnya yang sebenar golongan pintar cerdas dan berbakat ini juga mempunyai masalah berkaitan dengan kehidupan mereka. Mereka juga memerlukan perhatian dan sokongan yang sewajarnya untuk terus menghadapi kehidupan walaupun pada dasarnya, mereka agak berbeza dengan individu biasa. Oleh itu, isu-isu yang berkaitan dengan golongan pintar cerdas dan berbakat ini tidak harus dipandang enteng oleh semua pihak agar masalah perkembangan yang mereka hadapi tidak akan menganggu perkembangan bakat dan potensi yang ada dalam diri mereka.

Piirto (1990) menyarankan lima aspek perkembangan pintar cerdas iaitu genetik atau warisan sebagai faktor utama. Faktor kedua ialah faktor emosi diikuti dengan faktor kognitif yang merujuk kepada keperluan kecerdasan minima sebagai faktor ketiga. Faktor keempat dalam perkembangan pintar cerdas ialah sifat pintar cerdas (talent) itu sendiri. Aspek ini dikaitkan dengan sifat dalaman yang semulajadi dan bermisteri. Aspek yang terakhir ialah ialah aspek luaran atau persekitaran kepada individu yang berbakat. Aspek ini lebih merujuk kepada sokongan dan bimbingan ibu bapa dalam memperkembangkan pintar cerdas dalam diri anak- anak mereka.

Faktor genetik


Ramai pakar genetik dan psikologi telah berusaha untuk mencari dan menentukan sejauh manakah kebenaran bahawa tahap kepintarannya diwarisi malahan, kebanyakan pakar juga bersetuju bahawa asas potensi mental seseorang sedikit sebanyak diwarisi daripada ibu bapanya. Boleh dikatakan bahawa kanak-kanak pintar cerdas sudah menjadi pintar cerdas sejak saat kelahiran.

Manakala menurut Profesor Howe, kanak-kanak menjadi pintar cerdas mungkin kerana hasil daripada bimbingan dan didikan ibu bapa serta guru-guru yang berada di sekeliling mereka sejak lahir dan semasa waktu kritikal iaitu zaman pra formal di antara kosong hingga enam tahun. Malahan, Kajian ahli-ahli psikologi Galton (1865), Goddard (1890), Newman (1937) dan Shieldo (1962) turut membuktikan bahawa setiap individu mempunyai kebolehan yang berbeza dan perbezaan itu biasanya diturunkan oleh genetik ibu bapa.. Kajian ahli-ahli psikologi sering mengaitkan perbezaan kecerdasan individu dengan kecerdasan ibu bapa mereka. Kebiasaannya, ibu bapa yang pintar cerdas akan melahirkan anak yang juga cerdas pintar.

Faktor Emosi

Menurut Goleman, kecerdasan emosi pula adalah kemampuan seseorang mengatur kehidupan emosinya dengan inteligensi, menjaga keselarasan emosi dan pengungkapannya melalui keterampilan, kesedaran diri, pengendalian diri, motivasi diri, empati dan keterampilan sosial. Menurut Bee (1999), kanak-kanak pintar cerdas adalah satu golongan yang heterogeneous. Mereka yang lebih tinggi tahap kecerdasannya berbanding kanak-kanak lain menghadapi masalah penyesuaian diri berbanding kanak-kanak lain.

Goleman (1999) juga menyatakan bahawa kecerdasan emosi adalah kemampuan lebih yang dimiliki seseorang dalam memotivasikan diri, ketahanan dalam menghadapi kegagalan, mengendalikan emosi dan kepuasan serta mengatur keadaan jiwa. Tuntasnya, seseorang akan berada dalam keadaan yang positif apabila memiliki elemen-elemen tersebut. Beliau juga menambah, kecerdasan emosi adalah lebih penting dan berpengaruh daripada kecerdasan intelektual. Seseorang yang mempunyai kecerdasan emosi lebih berjaya dalam mengatur kehidupan dan akhirnya mencapai cita-cita.

 Faktor Kognitif / mental

Kanak-kanak pintar cerdas adalah golongan yang mempunyai kebolehan mental yang mana jauh lebih tinggi berbanding rakan sebayanya. Oleh sebab itu, keperluan motivasi yangsetanding juga perlu diberikan supaya tiada konflik timbul dalam kehidupan mereka kerana sudah ada panduan atau sistem pendidikan yang bersesuaian. Ibu bapa berperanan mempengaruhi perkembangan kognitif mereka dengan memindahkan pengetahuan berkenaan melalui maklumat dan budaya dengan memberi tunjuk ajar mereka melalui perlakuan ibu bapa.

Francis Galton pula menyatakan kanak-kanak pintar cerdas sebagai seseorang yang mempunyai penaakulan yang tinggi dan melihat sesuatu itu di dalam perspektif yang berbeza daripada orang biasa. Dalam erti kata lain, perkembangan awal mereka dapat dikenal pasti sebagai seorang individu yang mempunyai pemikiran kognitif yang arasnya adalah lebih tinggi daripada individu lain. Pandangan yang dilontarkan oleh Galton adalah amat bernas kerana bukan semua individu mempunyai pemikiran kognitif yang tinggi serta memerlukan penerokaan yang lama untuk diambil oleh seseorang individu yang biasa. Dalam konteks ini, kemahiran kognitif kanak-kanak ini perlu dipantau agar mereka dapat berfikir secara rasional dalam membuat keputusan.

Faktor luar dan persekitaran


Faktor aspek luaran dan faktor persekitaran adalah berkaitan dengan peranan ibu bapa serta masyarakat dalam memberi dorongan dan sokongan terhadap anak-anak pintar cerdas. Yang lebih utama adalah dorongan dan sokongan dari ibu dan bapa yang berempati dan dapat menyedari keistimewaan anak kecil mereka. 

Ibu bapa yang memberikan ruang kepada anak mereka untuk berkembang sepenuh potensi diri adalah ibu bapa yang boleh membentuk minda genius. Bagaimanapun, kejayaan mereka kelak tidak boleh diambil dan ditiru bulat-bulat kerana semua kanak-kanak amat berbeza dari segi minat dan personaliti mereka. Hanya ibu bapa yang dapat menilai kemampuan anak kecil mereka dan kemudian melakukan apa yang dirasakan perlu untuk membangunkan potensi dirinya.

Seseorang ibu atau bapa yang peka terhadap keupayaan anaknya akan memberi pendidikan yang lebih sempurna dan yang terbaik di peringkat awal lagi. Hal ini demikian kerana jika bakat atau kebolehan tidak dikembangkan secara tidak langsung akan mati. Ternyata, keadaan ini akan merugikan banyak pihak terutama kepada negara, kerana negara memerlukan golongan pintar cerdas ini untuk membangunkan negara.

Bakat

Aspek seterusnya ialah aspek bakat itu sendiri. Kebanyakan bakat itu diramal daripada tingkahlaku ramalan. (predictive behaviours). Bakat ini ditunjukkan secara domain dan dianggap bernilai oleh masyarakat. Terdapat bakat domain yang spesifik seperti seni visual, muzik, kesusasteraan, lakonan, tarian, sukan, rekaan, matematik, sains, dan sebagainya. Ini turut disokong oleh Model Gagne yang menekankan proses pembelajaran ataupun proses pembangunan bakat semulajadi yang dirangsang oleh pemangkin luaran dan interpersonal. Pemangkin-pemangkin ini memainkan peranan dalam membantu pengembangan bakat ataupun membantutkan pengembangan bakat.

Klik pautan berikut untuk maklumat tambahan: https://us.sagepub.com/sites/default/files/upm-assets/38607_book_item_38607.pdf

Klik pautan video berikut untuk tambahan rujukan:https://www.youtube.com/watch?v=j1WNvL73xIE


0 comments:

Post a Comment