Sunday, April 3, 2022

PENGENALAN TENTANG TUGASAN KURSUS

Edit Posted by Cikgu Jusren, Cikgu Lozinah, Cikgu Vezlin with No comments

 Kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat sering menjadi isu perdebatan ramai pihak yang masih tidak memahami akan mereka sehingga ianya sering disalah ertikan. Maka, tugasan blog ini dihasilkan untuk memberikan sedikit sebanyak gambaran dan maklumat tentang kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat. Selain itu, tugasan blog ini juga dihasilkan bagi memenuhi tugasan kumpulan bagi kursus KMP62104 iaitu KANAK-KANAK PINTAR CERDAS di bawah bimbingan DR. MOHD AFIFI BIN BAHURUDIN SETAMBAH, Universiti Pendidikan Sultan Idris. 

Semoga apa yang dipaparkan dapat menambahkan pengetahuan untuk anda semua.


Ahli kumpulan kami terdiri daripada tiga orang guru yang baru sahaja ingin mengenali dunia Kanak-Kanak Pintar Cerdas dan Berbakat iaitu:

1. Jusren Martha binti Siun

2. Lozinah Jain

3. Vezlin Dois


PENGENALAN TENTANG KANAK-KANAK PINTAR CERDAS DAN BERBAKAT

Edit Posted by Cikgu Jusren, Cikgu Lozinah, Cikgu Vezlin with No comments

 PENDAHULUAN


 Kebelakangan ini, isu kehadiran golongan individu pintar cerdas dan berbakat telah menjadi suatu isu yang menjadi perdebatan banyak pihak terutamanya golongan ilmuan. Para ilmuan masing-masing memberikan tanggapan mereka disamping melaksanakan kajian daripada pelbagai aspek untuk mengkaji golongan ini. Masyarakat pula menganggap bahawa golongan pintar cerdas dan berbakat ini merupakan golongan yang istimewa dan adalah menjadi suatu kebanggaan jika mereka atau ahli keluarga mereka berada di dalam golongan tersebut. Hal ini kerana, golongan ini mempunyai kebolehan yang teratas berbanding dengan rakan yang lain dan seringkali mendapat sokongan dari keluarga, komuniti dan pendidikan yang baik (Simonton, 2005).

           Di negara kita Malaysia, beberapa orang pelajar yang pintar cerdas dan berbakat telah membuka mata dunia dengan kecerdasan yang dimiliki mereka seperti Sufiah Yusof, seorang yang telah berjaya masuk ke Kolej St Hilda, Universiti Oxford untuk mempelajari matematik pada umur seawal 13 tahun. Selain itu, Mohamed Shukri Hadafi Aziz turut menggemparkan negara dengan kemampuannya yang lancar membaca surat khabar seperti orang dewasa ketika berumur baru mencecah tiga tahun. Begitu juga dengan pelajar genius matematik iaitu Adi Putra yang telah berjaya menghasilkan banyak formula dalam matematik.

         Pada asasnya, kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat adalah golongan yang diketahui kebolehan mental mereka adalah jauh lebih tinggi daripada rakan sebaya mereka. Perkembangan mereka dengan kanak-kanak normal adalah hampir sama tetapi masih berbeza. Kanak-kanak pintar cerdas sememangnya memperlihatkan kelebihan intelek yang luar biasa berbanding rakan sebaya mereka. Situasi seumpama ini menyebabkan perancangan bagi suatu sesi pengajaran dan pembelajaran perlu dirancang sebaiknya agar golongan pintar cerdas dan berbakat ini dapat mengikuti pembelajaran yang setaraf dengan tahap intelek mereka. Namun, bagi golongan pendidik, masalah yang timbul ialah apabila mereka sendiri tidak mempunyai pengetahuan tentang bagaimana untuk mengendalikan hal-hal yang berkaitan dengan pembelajaran kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat. Malah, lebih merumitkan lagi keadaan apabila mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang ciri-ciri yang ada pada golongan ini terutamanya dari aspek ciri-ciri kognitif dan afektif kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat. Hal ini menyebabkan sebilangan golongan pendidik tidak berusaha untuk mempunyai pengetahuan tentang bagaimana untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian untuk mereka. Maka, ini menyebabkan mereka gagal untuk merancang suatu proses pengajaran dan pembelajaran yang bermakna kepada murid-murid yang pintar cerdas dan berbakat ini. Biasanya, sekolah gagal memberi perhatian yang wajar kepada pelajar pintar cerdas dan berbakat kerana menganggap mereka tidak perlu diberi program pendidikan dan bimbingan yang khusus (Gallagher, 1990).
 
      Kebanyakan masalah emosi kanak-kanak pintar cerdas sama ada dalam bidang akademik mahupun persekolahan adalah disebabkan kegagalan pendekatan pendidikan sedia ada yang berpunca daripada kurangnya kesedaran guru tentang ciri-ciri kognitif dan afektif murid-murid yang pintar cerdas dan berbakat. Guru mengganggap bahawa semua murid mempunyai aras kognitif yang sama menyebabkan pendekatan pendidikan yang digunakan adalah tidak berkesan. O1eh kerana itu, jika kanak-kanak pintar cerdas tidak diberi pendedahan yang sepatutnya bermakna potensi yang ada pada mereka juga sukar untuk dikembangkan. Di sekolah, terdapat sebilangan guru yang mungkin memberi golongan pelajar ini maklumat-maklumat yang tidak berkaitan dan tidak memberangsangkan, selain tugasan yang diberi menjadikan golongan pelajar ini lebih derita seperti kerja salin-menyalin atau menghafal fakta yang tidak dapat dikaitkan dengan pengalaman pelajar. Tugasan salin-menyalin sebenarnya merupakan suatu bentuk penyeksaan mental yang baharu terhadap golongan pelajar tersebut kerana tugasan seumpama itu hanya melatih kemahiran-motor-halus mereka dan bukannya kemahiran berfikir mereka. Kadang-kadang, tugasan yang diberi guru tidak sesuai dengan keperluan (motivasi intrinsik) mereka yang sentiasa ingin tahu atau ingin mengkaji sesuatu topik dengan lebih mendalam. Faktor tersebut menjadikan pelajar pintar cerdas tidak suka kepada sekolah. Malahan, guru menambah jumlah tugasan golongan pelajar lebih daripada biasa. Sebenarnya, cara ini tidak sesuai dilakukan terhadap golongan pelajar ini kerana mereka memerlukan cabaran kualiti dan bukannya cabaran kuantiti.
 
           Hari ini jika dibandingkan dengan sebelumnya, kepelbagaian aras kognitif pelajar dalam sesebuah bilik darjah telah memberikan gambaran bahawa bilik darjah adalah sebagai tempat untuk melaksanakan pendidikan umum (Tomlinson, 2004). Hal ini kerana, dalam kebanyakan bilik darjah, para pelajar mempunyai tahap kebolehan kognitif yang pelbagai. Manakala, pelajar berkebolehan tinggi iaitu golongan pintar cerdas dan berbakat pula telah dilabelkan dalam pelbagai cara. Situasi dan kepelbagaian yang berlaku ini sememangnya telah mencabar golongan pendidik khususnya dari segi strategi untuk merancang, mereka bentuk dan melaksanakan strategi pengurusan pengajaran dan tingkah laku yang perlu memastikan kejayaan untuk semua kumpulan pelajar termasuklah kumpulan murid-murid yang pintar cerdas serta berkebolehan tinggi. Walau bagaimanapun, kajian menunjukkan majoriti guru hanya mempunyai pengetahuan khusus yang sedikit tentang kumpulan kanak-kanak ini (Archambault et al., 1993; Robinson, 1998; Westberg dan Daoust, 2003; Whitton, 1997). Kurangnya kesedaran guru-guru tentang keistimewaan mereka terutamanya tentang ciri-ciri kognitif dan afektif mereka menyebabkan guru tidak dapat memahami kehendak dan keperluan mereka yang akhirnya menyebabkan mereka gagal untuk merancang  pembelajaran yang berkesan untuk kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat.
 
           Oleh itu, tugasan ini akan cuba untuk meneroka dan menerangkan serba sedikit tentang ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat. Diharapkan penerangan tentang ciri-ciri individu pintar cerdas dan berbakat dari segi kognitif dan afektif akan dapat membantu pihak yang terlibat khususnya golongan pendidik sedikit sebanyak petua dan idea tentang bagaimana untuk mengendalikan dan merancang strategi pembelajaran yang bersesuaian dengan tahap intelek dan sosio emosi mereka. 

TAKRIFAN KANAK-KANAK PINTAR CERDAS DAN BERBAKAT

        Pada masa ini, label "pintar cerdas dan berbakat" digunakan untuk menunjukkan keupayaan intelek atau akademik yang tinggi, manakala istilah "pendidikan berbakat" pula adalah merujuk kepada bidang pendidikan yang dikhaskan untuk golongan pelajar berbakat ini. Walau bagaimanapun, mentakrifkan "pintar cerdas dan berbakat" bukanlah sesuatu yang mudah. Penggunaan terawal perkataan ini telah digunakan oleh Lewis Terman pada tahun 1925 (Stephens & Karnes, 2000; Morelock, 1996) untuk mengenal pasti pelajar berkebolehan tinggi. Label “pintar cerdas dan berbakat” digunakan selepas ujian IQ pertama yang dibangunkan pada awal 1900-an oleh Alfred Morgan (Sarouphim, 1999). Dalam kajian tersebut, kanak-kanak yang mencapai dua peratus teratas dalam soalan kecerdasan am pada ujian Binet atau alat ukuran yang serupa dengannya adalah dikategorikan sebagai kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat (Clark, 2002).

           Selama bertahun-tahun, banyak definisi tentang pintar cerdas dan berbakat yang  telah dicadangkan oleh para sarjana dan penyelidik. Ini termasuklah bakat semula jadi (Gagne, 1995; Tannenbaum, 2003) sehinggalah kepada kebolehan menggunakan situasi kehidupan dengan jayanya (Sternberg, 2003). Hakikatnya, istilah “pintar cerdas dan berbakat” boleh membawa maksud yang pelbagai mengikut persepsi seseorang individu itu, berbeza juga dari pandangan masyarakat dan pandangan kanak-kanak itu sendiri.

        Stanford Binet (1916), orang pertama menjalankan ujian pintar cerdas yang dikenali sebagai “The Stanford-Binet Test” telah memberikan definisi pintar cerdas sebagai merujuk kepada keupayaan individu untuk memahami, membuat pertimbangan dan penaakulan dengan baik. Lewis Terman (2000), pula memberi definisi pintar cerdas sebagai seseorang yang berkebolehan untuk berfikir secara abstrak.

  Menurut Nik Azis (1990), kanak-kanak pintar cerdas adalah mereka yang mempunyai interaksi tiga kelompok sifat manusia iaitu kebolehan intelek umum yang atas purata (murid yang mempunyai IQ melebihi 120 dikategorikan sebagai kanak-kanak pintar cerdas), aras yang tinggi terhadap tanggungjawab kepada tugas dan aras kreativiti yang tinggi.

Porter (1999) menyatakan kanak-kanak pintar cerdas memiliki domain kebolehan dalam intelektual, akademik, verbal, kemahiran bersosial, muzik, kemahiran fizikal, mencitrakan seni dan kecerdasan emosi (emotional intelligence). Beliau turut menerangkan cara untuk mengenal pasti kanak-kanak pintar cerdas yang berdomain intelektual, akademik, verbal, kecerdasan emosi dan kemahiran bersosial.

Manakala menurut Kamus Dewan edisi keempat (2010), pintar bermaksud “cekap, pandai, banyak akal, cerdik, licin dan mahir dalam membuat sesuatu pekerjaan” dan maksud cerdas pula adalah “sempurna akal untuk berfikir dan mengerti.” Oleh itu, kanak-kanak pintar cerdas ini dapat ditakrifkan sebagai kanak-kanak yang pandai dalam sesuatu perkara dan mempunyai pemahaman yang tinggi berbanding kanak-kanak normal.

Marland (1972), telah mengemukakan satu definisi pelajar pintar cerdas yang diterima pakai oleh Jabatan Pendidikan Negara, Amerika Syarikat pada tahun 1972. Definisi Marland, (1972), dalam S.Deborah, (1998: hal. 277) iaitu:

“Gifted and talented children are those identified by professionally qualified persons who by virtue of outstanding abilities are capable of high performance. These are children who require differentiated educational programs and services beyond those normally provided by the regular school program in order to realize their contribution to self and society. Children capable of high performance include those with demonstrated achievement and/or potential ability in any of the following areas singly or in combination:

a. General intellectual aptitude

b. Specific academic aptitude

c. Creative or productive thinking

d. Leadership ability

e. Visual and performing arts

Persekutuan Amerika Syarikat memberi maksud pintar cerdas ditujukan kepada kanak- kanak pelajar atau belia mereka yang mempunyai potensi dan pencapaian yang tinggi dari segi bidang seperti intelektual, kreativiti, artistik, kebolehan kepimpinan dan juga mempunyai bakat dalam bidang seni dan muzik yang mengagumkan, serta mereka ini memerlukan aktiviti atau perkhidmatan yang lain dari yang lain atau istimewa yang tidak dapat diperolehi di sekolah biasa demi meningkatkan tahap kebolehan mereka.

Defenisi bagi Negara Kanada, pintar cerdas ditakrifkan sebagai suatu darjah keupayaan intelektual yang luar biasa yang memerlukan pengalaman pembelajaran yang berlainan daripada apa yang disediakan di sekolah biasa untuk memenuhi tahap keupayaan akedemik dan potensi mereka.

Negara England pula mendefenisikan, pintar merujuk kepada 5 peratus teratas dari semua populasi sekolah di dalam bidang akedemik manakala cerdas pula adalah 5 peratus teratas dari semua bidang lain. Pelajar pintar adalah mereka yang memilki kebolehan tinggi untuk 1 atau lebih di dalam subjek akedemik. Mereka ini tidak perlu menjadi pintar untuk semua subjek. Pelajar cerdas pula adalah mereka yang mempunyai kebolehan tinggi dari segi sukan, muzik , lukisan atau seni persembahan.

Intellectual Quotient (IQ) yang tinggi iaitu berada pada tahap IQ 130 dan ke atas mengikut Public Law 91-230, seorang yang pintar cerdas dan berbakat adalah golongan yang dikenali sebagai seseorang yang layak secara professional yang secara kebajikannya mempunyai kebolehan yang terserlah. Golongan seperti ini memerlukan program pembelajaran yang berbeza dengan / atau perkhidmatan yang bertahap lebih tinggi berbanding dengan program-program yang dianjurkan oleh sekolah untuk pelajar-pelajar normal yang biasa. Program yang khusus adalah perlu bagi menyedari sumbangan mereka terhadap diri sendiri dan negara. Kanak-kanak yang mempunyai pencapaian yang cemerlang termasuk individu yang berpotensi serta berkebolehan dalam mana-mana enam bidang kecerdasan yang dinyatakan.

Menurut Susan K. Golant di dalam bukunya The Joys and Challenges Of Raising a Gifted Childs berpendapat, kanak-kanak yang pintar cerdas menunjukkan minat yang tinggi bagi belajar, curiga dan mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi kepada persekitaran serta berupaya menggabungkan beberapa maklumat dalam menghasilkannya. Umum pula mentakrifkan pintar cerdas sebagai kepandaian luar biasa yang dimiliki oleh individu yang dikatakan pintar cerdas ini. Mereka mempunyai kebolehan yang luar biasa memahami dan mengadaptasi segala cabaran persekitaran kepada hidup dan mindanya.

Ahli biologi mendefinisikan pintar cerdas sebagai kebolehan luar biasa yang dimiliki oleh seseorang individu untuk melakukan adaptasi dan manipulasi terhadap keadaan dan perubahan persekitaran. Pakar psikologi mendefinisikan istilah pintar cerdas sebagai kanak- kanak yang berupaya melakukan taakulan iaitu mempunyai kebolehan berfikir dengan logik dan mempunyai fungsi kognitif yang hebat. Kanak-kanak pintar ini berkebolehan mencari dan mengaitkan sebab musabab terhadap sesuatu fenomena yang abstrak.

Clark (2002) pula mendefinisikan "berbakat" sebagai label bagi perkembangan unggul untuk pelbagai fungsi otak. Menurut Clark, fungsi-fungsi ini mungkin berfokuskan kepada bidang kognitif, kreativiti, akademik, kepimpinan, mahupun seni. Pandangan Clark secara asasnya menekankan bahawa istilah berbakat adalah merujuk kepada aspek keupayaan semula jadi kanak-kanak, berbanding dengan aspek yang dipelajari, dan memberi makna yang hampir sama dengan perkataan “dikurniakan kebolehan atau kebolehan istimewa” (Webber 1984; 295), Clark (2002; 25). Walau bagaimanapun, Clark turut memberikan pandangannya bahawa perkembangan kecerdasan adalah bergantung pada interaksi antara biologi dan alam sekitar. Secara keseluruhannya, Clark menyimpulkan bahawa ‘berbakat’ merupakan kebolehan semulajadi dan adalah sebahagian daripada ciri-ciri pemprosesan maklumat yang diwarisi dan interaksi antara alam sekitar diperlukan oleh kanak-kanak untuk mengembangkan sifat tersebut.

Walau bagaimanapun, takrifan yang kurang formal bagi perkataan berbakat adalah bergantung kepada kumpulan ibu bapa dan pelajar berbakat itu sendiri. Russell, Hayes, dan Dockery (1988; 2) merumuskan definisi yang dicipta oleh pebagai pihak bahawa: "Giftedness ialah pemberian berharga atau kebolehan yang berpotensi untuk cemerlang yang membolehkan seseorang berinteraksi dengan persekitaran dengan tahap pencapaian dan kreativiti yang sangat tinggi." Pelajar berbakat Amanda Ashman (2000; 50) pula mendefinisikan berbakat sebagai, “tidak sesuatu yang boleh anda kembangkan. Anda dilahirkan dengan kapasiti untuk pengetahuan. Pembelajaran dan pemahaman datang secara semula jadi untuk mereka yang berbakat.”

Menurut Gagne (1995), individu dianggap sebagai pintar dalam bidang tertentu apabila dia mampu menampakkan potensinya dalam bidang tersebut. Kepintaran yang semulajadi ini, apabila dijana sepenuhnya akan menjadikan individu tersebut cemerlang dan dikenali sebagai individu yang berbakat. Namun, adakalanya individu ini didapati menghadapi situasi di mana dia terhalang atau tidak berpeluang untuk mempamerkan potensi semulajadinya. Hal ini mungkin disebabkan oleh faktor intrapersonal atau persekitaran yang tidak menyokong keperluan perkembangan pembelajarannya (Gagne, 1995). Justeru individu yang terbabit tidak akan mempamerkan sifat pintar dan berbakat sekiranya belum mencapai kesedaran peribadi (seperti; kesedaran fizikal dan psikologikal yang melibatkan elemen motivasi, kemahuan dan personaliti). Sifat pintar dan berbakat hanya akan terserlah apabila individu tersebut mempunyai kesedaran intrapersonal yang tinggi dan berada dalam persekitaran yang menyokong kepada pembangunan potensi dirinya, menerusi pendekatan pembelajaran yang mencabar minda seperti penggayaan, pecutan, dan pemampatan kurikulum.

Renzulli (2000), melihat kanak-kanak pintar dari perspektif Model Tiga Cincin yang meletakkan tiga ciri utama, iaitu kebolehan kognitif luar biasa, komitmen yang tinggi dalam tugasan, dan kreativiti yang tinggi. Ciri pintar dan berbakat ini bukan satu sifat yang tetap atau kekal, sebaliknya ciri ini sentiasa berubah mengikut keadaan dan persekitaran yang menyumbang kepada perkembangan kepintaran untuk menjadi individu berbakat. Gardner (1993), pula dalam Teori Kecerdasan Pelbagai melihat kepintaran daripada sembilan ciri kecerdasan iaitu; logik matematik, verbal linguistik, spatial ruang, kinestetik badan, muzik, intrapersonal, interpersonal, naturalis, dan existential. Sousa (2003), seterusnya melihat ciri kanak-kanak pintar dari aspek psikologi yang memfokuskan kepada aspek kognitif dan metakognitif, iaitu yang melibatkan penggunaan pemikiran aras tinggi dalam proses pembelajaran.

Konsep pelajar pintar dan berbakat menurut Pusat PERMATApintar Negara (PPpN), (2009) dilihat dari aspek sikap serta ciri peribadi yang memperkayakan dan menyokong pembangunan aspek kemampuan peribadi yang semula jadi. Individu Pintar dan Berbakat menurut perspektif PPpN ialah individu yang memiliki; (i) kemampuan dalaman yang semula jadi dari aspek kemahiran kognitif termasuk kebolehan menaakul, menyelesaikan masalah, dan merancang. Kebolehan kognitif yang baik dipamerkan menerusi kepantasan belajar dan kecekapan mengurus maklumat yang dipelajari; (ii) berpeluang berada dalam keadaan pintar, di mana individu bukan sekadar mempunyai kebolehan kognitif yang tinggi malah boleh menggunakan kemampuan tersebut dengan baik, menerusi persekitaran yang sesuai lagi menyokong. Persekitaran yang menyokong melibatkan pelbagai pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang mampu mencabar minda seperti pembelajaran pengayaan, pecutan, dan pemampatan kurikulum; dan (iii) sikap serta ciri peribadi yang memuaskan adalah penting dalam memperkaya dan meyokong pembangunan aspek kemampuan diri yang semula jadi yang ada pada diri individu tersebut sehingga berjaya mencapai tahap berbakat. Ciri-ciri tersebut merangkumi sikap mesra masyarakat, cermat dan teliti dalam bertindak. Selain itu, sifat individu ini berupaya mempengaruhi orang lain kerana mempunyai kemahiran daya membujuk, berwibawa kepimpinan, dan mahir berkata-kata yang kesemuanya turut menyumbang kepada pembangunan diri untuk menjadi dia individu pintar dan berbakat (Rosadah, Noriah, Melor, 2009).

Berdasarkan definisi dan takrifan daripada pelbagai pihak tentang pintar cerdas dan berbakat, dapat disimpulkan bahawa individu pintar cerdas dan berbakat dapat ditakrifkan mengikut pandangan seseorang individu namun apa yang pasti istilah ‘pintar cerdas dan berbakat’ merujuk kepada golongan yang mana mempunyai pencapaian tahap Intelligence Quotient (IQ) melepasi aras 120, dan mempunyai kapasiti tahap pemikiran yang luas dan tinggi. Cara terbaik untuk mengenal pasti pintar cerdas adalah berdasarkan percapaian yang tinggi dalam sesuatu bidang melalui rujukan guru, ibu bapa, dan disokong data dari ujian IQ. 


JENIS KANAK-KANAK PINTAR CERDAS DAN BERBAKAT

Terdapat enam jenis kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat yang telah dikenal pasti (Betts & Neihart, 1988).

1. 

Jenis pertama merupakan kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat yang paling senang dikenal pasti adalah mereka yang berbakat. Kanak-kanak dari kategori ini disukai guru dan rakan-rakan sebaya serta mencapai hasil tahap yang tinggi. Mereka lebih suka bergantung pada orang lain berbanding berdikari. Dalam pada itu, mereka juga tidak suka mengambil risiko. Mereka juga tidak suka mengembangkan autonomi dan sebenarnya mereka boleh mencapai sesuatu dengan lebih tinggi jika mereka lebih menentukan hala tuju diri sendiri dan juga tidak bergantung pada orang lain dalam kehidupan seharian mereka.

Lihat juga pautan: http://www.jadeannrivera.com/the-six-types-of-gifted-child-the-successful/

 2. 

Jenis kedua ialah pencabar. Dalam kategori ini kebiasaannya kanak-kanak ini lebih kreatif. Signifikasi daripada kekurangan sokongan untuk kanak-kanak yang kreatif boleh mengakibatkan tingkah laku yang degil dan memberi cabaran-cabaran untuk guru dan ibu bapa. Justeru, para guru dan ibu bapa perlu bijak dalam menguruskan kanak-kanak ini. Cara yang paling baik untuk membantu kanak-kanak kategori ini ialah sentiasa memberi motivasi dan memahami emosi mereka. Ini akan membantu kanak-kanak pintar cerdas lebih memahami diri mereka dan situasi yang dialami.

 Lihat juga: http://www.jadeannrivera.com/the-six-types-of-gifted-child-the-challenging/

3.  

Jenis ketiga ialah kanak-kanak ‘bawah tanah’ atau bersembunyi di mana kanak-kanak cuba untuk menyembunyikan kepintaran mereka. Kebiasaan kanak-kanak jenis ini adalah kanak-kanak perempuan yang sedang bersekolah. Mereka sering berasa cemas dan tidak selamat. Hal ini terjadi kerana satu konflik dialami antara sosial dan kejayaan akademik. Jenis ini juga sentiasa mengalami kemurungan kerana wujudnya ketidakyakinan dalam jiwa mereka untuk mengetengahkan bakat yang mereka miliki. Kanak-kanak ini perlu dibantu bagi mengembangkan potensi serta bakat yang ada pada mereka.

Lihat juga: http://www.jadeannrivera.com/the-six-types-of-gifted-child-the-underground/

 4. 

Jenis keempat adalah kanak-kanak yang keciciran. Kanak-kanak ini mempunyai pencapaian rendah sepanjang masa dan memerlukan program sokongan yang cukup banyak untuk meningkatkan pencapaian pendidikan. Pencapaian rendah boleh dihasilkan disebabkan mereka tidak mempunyai dorongan motivasi yang dipengaruhi oleh program-program yang tidak sesuai untuk mereka. Kanak-kanak pintar cerdas jenis ini seringkali diabaikan kerana sering beranggapan mereka adalah kanak-kanak lembab walhal mereka adalah golongan yang mempunyai IQ yang tinggi. Apa yang diperlukan ialah program khas yang bersesuaian dengan bakat mereka.

Lihat juga: http://www.jadeannrivera.com/the-six-types-of-gifted-child-the-angry/

 5. 

Jenis kelima dipanggil label berganda iaitu kanak-kanak yang mempunyai kesulitan pembelajaran fizikal atau emosional. Oleh itu, mereka kurang diberi perhatian dan potensi serta bakat mereka dibiarkan. Misalnya, seorang kanak-kanak pintar cerdas yang kurang upaya dari aspek fizikal mungkin kecerdikan yang dimilikinya tidak dipeduli oleh orang lain kerana dilabel sebagai seorang kurang upaya dan sering dipinggirkan.

Lihat juga: http://www.jadeannrivera.com/the-six-types-of-gifted-child-the-twice-exceptional/

 6. 

Jenis keenam ialah kanak-kanak berautonomi. Kanak-kanak jenis ini ialah kanak-kanak yang mempunyai cara tersendiri dan tidak bergantung pada orang lain. Kanak-kanak ini akan terus berkembang jika terdapat program-program pendidikan yang bersesuaian disediakan untuk mereka (Betts & Neihart, 1988). Kanak-kanak jenis inilah yang seringkali Berjaya seperi Adi Putra, Safiah, Amalina dan beberapa orang lagi.

Lihat juga: http://www.jadeannrivera.com/the-six-types-of-gifted-child-the-autonomous/


CONTOH INDIVIDU PINTAR CERDAS DAN BERBAKAT MALAYSIA



       
Di dalam sistem pendidikan di Malaysia, murid pintar cerdas dan berbakat didefinisikan sebagai murid yang mempunyai keupayaan berprestasi cemerlang disebabkan kebolehan mereka yang tinggi berbanding dengan murid yang seumur dengannya. Mereka juga lulus penilaian tahap kecerdasan atau keupayaan yang ditetapkan oleh KPM dan mereka memerlukan pendekatan yang khusus dalam pendidikan. Justeru, pelajar pintar cerdas dan berbakat merupakan seorang pelajar yang terbukti cemerlang atau seorang yang berpotensi dalam bidang akademik atau dalam bidang-bidang lain seperti muzik, bahasa, kepimpinan dan lain-lain.

Pendidikan pelajar pintar cerdas di Malaysia bermula semula pada tahun 2007 apabila seorang kanak-kanak pintar cerdas matematik, Adi Putra Abd. Ghani menjadi perhatian media massa. Beliau telah diuji tahap kepintarannya oleh Prof. Madya Dr. Noriah Mohd. Ishak seorang pakar kaunseling dan psikologi dan Dr. Rosadah Abd. Majid seorang pakar bidang bidang pendidikan khas untuk kanak-kanak pintar cerdas dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Adi Putra didapati mempunyai kepintaran yang superior dalam beberapa bahagian matematik. Adi Putra kemudiannya telah ditawarkan beberapa pilihan program pembelajaran berbentuk pecutan dan pengayaan oleh beberapa buah universiti tempatan. Ini merupakan titik tolak kepada permulaan program pendidikan kanak-kanak pintar cerdas di Malaysia selepas program PTS yang diperkenalkan pada tahun 1996 yang telah ditamatkan selepas lima tahun diperkenalkan dalam sistem pendidikan di negara kita.

Terdapat beberapa contoh individu pintar cerdas dan berbakat dari negara Malaysia yang telah dilahirkan secara semula jadi sebagai seorang yang genius dan mempunyai kepintaran luar biasa. Antaranya adalah seperti berikut:


Sufiah Yusof

Sufiah Yusof yang lahir pada tahun 198ialah seorang genius Matematik yang lahir di United Kingdom. Beliau pertama kali menjadi bahan berita hangat pada tahun 1997 apabila melayakkan diri ke Kolej St. Hilda, Universiti Oxford untuk mempelajari bidang matematik pada usia 13 tahun. Beliau merupakan anak kepada seorang lelaki kelahiran Pakistan, Farooq Yusof dan isterinya, Halimaton Yusof, kelahiran MuarJohor.

       Meskipun berwarganegara British, kerajaan Malaysia tampil ke hadapan untuk membiayai perbelanjaan pendidikan Sufiah, meskipun dimaklumkan bahawa bapanya yang berketurunan Pakistan pernah disabitkan kesalahan jenayah kerana penipuan berkenaan gadai janji sama sekali tidak menjejaskan reputasi SufiahIni kerana, rakyat Malaysia memandang tinggi dengan keupayaan luar biasa yang dimilikinya.


Mohamed Shukri Hadafi Aziz

Mohamed Shukri Hadafi merupakan kanak-kanak pintar yang pernah menggemparkan negara sekitar 1980-an. Pada usia semuda tiga tahun, beliau telah mampu membaca surat khabar dengan lancar seperti orang dewasa.

Shukri merupakan anak kepada Aziz Kechik, seorang peneroka di Felda 12, Jengka Pahang. Selepas itu, pasangan suami isteri yang tinggal di Merbau Pulas, Kedah telah mengambil beliau sebagai anak angkat.

Malah, kepintaran Shukri telah berjaya menarik perhatian Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz dan turut mengambil Shukri sebagai anak angkatnya. Dengan anggapan mahu menjadikan Shukri sebagai pelapis yang hebat sepertinya, Ungku Aziz telah menanggung segala perbelanjaan bagi keperluan pembelajaran demi memastikan Shukri mendapat pendidikan yang lebih baik.

Selain itu, pengarah filem terkenal. Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin pada ketika itu juga telah mengambil beliau berlakon dalam filem Menanti Hari Esok disamping penghibur tanah air terkenal seperti Noor Kumalasari, DJ Dave dan Uji Rashid.


Chiang Ti Ming

Chiang Ti Ming merupakan pelajar termuda di California Institute of Technology (CalTech). Seawal umur 15 tahun pada ketika itu, beliau juga berada dalam kalangan “Top 5” yang mendapat keputusan terbaik.

Bukan itu sahaja, Chiang turut berjaya menjadi pelajar termuda yang menerima “Anugerah Merit Pelajar Sarjana Muda” selama dua tahun berturut-turut di institusi berprestij itu.

Malah, Chiang juga merupakan ahli kehormat Tau Beta Phi, iaitu sebuah persatuan kejuruteraan kebangsaan. Pada usia 13 tahun, beliau juga telah diterima untuk belajar di tahun kedua bagi kos ijazah Fizik selama empat tahun di universiti berkenaan pada tahun 1989, selepas menerima tajaan daripada beberapa organisasi.

Disebabkan kepintarannya yang luar biasa itu, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di peringkat PhD dalam bidang fizik zarah di Universiti Cornell, New York.


Nur Fitri Azmeer Nordin

Nur Fitri Azmeer Nordin merupakan seorang paling genius dalam jurusan matematik di Malaysia dan menuntut di Imperial College London dengan kos pengajian di taja oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).


Adi Putra Abdul Ghani

Adiputra Abdul Ghani merupakan seorang kanak-kanak genius matematik yang mampu menyelesaikan pebagai masalah dalam subjek matematik seperti algebra, indeks dan trigonometri.

Biarpun baru berumur 6 tahun pada ketika itu, Adi Putra mengakui kepintaran luar biasa yang dimilikinya itu adalah kurniaan Allah untuknya. Beliau dinobatkan sebagai Ahli Matematik Islam abad ke-21 oleh Universiti Riau di Indonesia pada tahun 2009.

Selain itu, Adi juga telah menghasilkan 235 formula matematik dan 12 daripadanya telah diterbitkan dalam sebuah buku berjudul “Seni Matematik Islam”. Lebih membanggakan, buku tersebut juga telah digunakan sebagai rujukan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah di negara Brunei.

Sungguhpun beliau tidak mendapat sebarang sijil, sekaligus gagal untuk memasuki sebarang universiti terbaik luar negara kerana beliau telah nekad untuk berhenti belajar disebabkan sistem pendidikan yang tersedia tidak sesuai dengannya, namun Adi Putra masih sering memberikan ceramah di sekolah dan universiti tempatan. Malah, beliau juga dijemput untuk menjadi tenaga pengajar di University of Brunei Darussalam bagi berkongsi kepakarannya tentang ilmu matematik.


Nurussyahamah Taqiah binti Nurunnajmi


Nurussyahamah Taqiah bt. Nurunnajmi (Pintar Al-Quran – Qhatam Al-Quran seawal usia 5 tahun dan merupkan tahfizah termuda di Malaysia, mahir tiga bahasa – Melayu, Inggeris dan Arab). 


Bagaimanakah dengan kisah kehidupan mereka sekarang? Lawati pautan berikut untuk kisah mereka. https://iluminasi.com/bm/5-pelajar-genius-malaysia-ini-patut-dijadikan-iktibar.html

FAKTOR PENYEBAB KANAK-KANAK PINTAR CERDAS DAN BERBAKAT

Edit Posted by Cikgu Jusren, Cikgu Lozinah, Cikgu Vezlin with No comments


Perkembangan individu pintar cerdas dan berbakat ini dapat dilihat dan diperhatikan sejak kecil lagi. Antara perkembangan yang dikaitkan dengan golongan ini adalah perkembangan fizikal, perkembangan emosi dan juga sosial. Pada pandangan mata kasar masyarakat mereka tidak mempunyai masalah dalam setiap peringkat perkembangan, namun pada hakikatnya yang sebenar golongan pintar cerdas dan berbakat ini juga mempunyai masalah berkaitan dengan kehidupan mereka. Mereka juga memerlukan perhatian dan sokongan yang sewajarnya untuk terus menghadapi kehidupan walaupun pada dasarnya, mereka agak berbeza dengan individu biasa. Oleh itu, isu-isu yang berkaitan dengan golongan pintar cerdas dan berbakat ini tidak harus dipandang enteng oleh semua pihak agar masalah perkembangan yang mereka hadapi tidak akan menganggu perkembangan bakat dan potensi yang ada dalam diri mereka.

Piirto (1990) menyarankan lima aspek perkembangan pintar cerdas iaitu genetik atau warisan sebagai faktor utama. Faktor kedua ialah faktor emosi diikuti dengan faktor kognitif yang merujuk kepada keperluan kecerdasan minima sebagai faktor ketiga. Faktor keempat dalam perkembangan pintar cerdas ialah sifat pintar cerdas (talent) itu sendiri. Aspek ini dikaitkan dengan sifat dalaman yang semulajadi dan bermisteri. Aspek yang terakhir ialah ialah aspek luaran atau persekitaran kepada individu yang berbakat. Aspek ini lebih merujuk kepada sokongan dan bimbingan ibu bapa dalam memperkembangkan pintar cerdas dalam diri anak- anak mereka.

Faktor genetik


Ramai pakar genetik dan psikologi telah berusaha untuk mencari dan menentukan sejauh manakah kebenaran bahawa tahap kepintarannya diwarisi malahan, kebanyakan pakar juga bersetuju bahawa asas potensi mental seseorang sedikit sebanyak diwarisi daripada ibu bapanya. Boleh dikatakan bahawa kanak-kanak pintar cerdas sudah menjadi pintar cerdas sejak saat kelahiran.

Manakala menurut Profesor Howe, kanak-kanak menjadi pintar cerdas mungkin kerana hasil daripada bimbingan dan didikan ibu bapa serta guru-guru yang berada di sekeliling mereka sejak lahir dan semasa waktu kritikal iaitu zaman pra formal di antara kosong hingga enam tahun. Malahan, Kajian ahli-ahli psikologi Galton (1865), Goddard (1890), Newman (1937) dan Shieldo (1962) turut membuktikan bahawa setiap individu mempunyai kebolehan yang berbeza dan perbezaan itu biasanya diturunkan oleh genetik ibu bapa.. Kajian ahli-ahli psikologi sering mengaitkan perbezaan kecerdasan individu dengan kecerdasan ibu bapa mereka. Kebiasaannya, ibu bapa yang pintar cerdas akan melahirkan anak yang juga cerdas pintar.

Faktor Emosi

Menurut Goleman, kecerdasan emosi pula adalah kemampuan seseorang mengatur kehidupan emosinya dengan inteligensi, menjaga keselarasan emosi dan pengungkapannya melalui keterampilan, kesedaran diri, pengendalian diri, motivasi diri, empati dan keterampilan sosial. Menurut Bee (1999), kanak-kanak pintar cerdas adalah satu golongan yang heterogeneous. Mereka yang lebih tinggi tahap kecerdasannya berbanding kanak-kanak lain menghadapi masalah penyesuaian diri berbanding kanak-kanak lain.

Goleman (1999) juga menyatakan bahawa kecerdasan emosi adalah kemampuan lebih yang dimiliki seseorang dalam memotivasikan diri, ketahanan dalam menghadapi kegagalan, mengendalikan emosi dan kepuasan serta mengatur keadaan jiwa. Tuntasnya, seseorang akan berada dalam keadaan yang positif apabila memiliki elemen-elemen tersebut. Beliau juga menambah, kecerdasan emosi adalah lebih penting dan berpengaruh daripada kecerdasan intelektual. Seseorang yang mempunyai kecerdasan emosi lebih berjaya dalam mengatur kehidupan dan akhirnya mencapai cita-cita.

 Faktor Kognitif / mental

Kanak-kanak pintar cerdas adalah golongan yang mempunyai kebolehan mental yang mana jauh lebih tinggi berbanding rakan sebayanya. Oleh sebab itu, keperluan motivasi yangsetanding juga perlu diberikan supaya tiada konflik timbul dalam kehidupan mereka kerana sudah ada panduan atau sistem pendidikan yang bersesuaian. Ibu bapa berperanan mempengaruhi perkembangan kognitif mereka dengan memindahkan pengetahuan berkenaan melalui maklumat dan budaya dengan memberi tunjuk ajar mereka melalui perlakuan ibu bapa.

Francis Galton pula menyatakan kanak-kanak pintar cerdas sebagai seseorang yang mempunyai penaakulan yang tinggi dan melihat sesuatu itu di dalam perspektif yang berbeza daripada orang biasa. Dalam erti kata lain, perkembangan awal mereka dapat dikenal pasti sebagai seorang individu yang mempunyai pemikiran kognitif yang arasnya adalah lebih tinggi daripada individu lain. Pandangan yang dilontarkan oleh Galton adalah amat bernas kerana bukan semua individu mempunyai pemikiran kognitif yang tinggi serta memerlukan penerokaan yang lama untuk diambil oleh seseorang individu yang biasa. Dalam konteks ini, kemahiran kognitif kanak-kanak ini perlu dipantau agar mereka dapat berfikir secara rasional dalam membuat keputusan.

Faktor luar dan persekitaran


Faktor aspek luaran dan faktor persekitaran adalah berkaitan dengan peranan ibu bapa serta masyarakat dalam memberi dorongan dan sokongan terhadap anak-anak pintar cerdas. Yang lebih utama adalah dorongan dan sokongan dari ibu dan bapa yang berempati dan dapat menyedari keistimewaan anak kecil mereka. 

Ibu bapa yang memberikan ruang kepada anak mereka untuk berkembang sepenuh potensi diri adalah ibu bapa yang boleh membentuk minda genius. Bagaimanapun, kejayaan mereka kelak tidak boleh diambil dan ditiru bulat-bulat kerana semua kanak-kanak amat berbeza dari segi minat dan personaliti mereka. Hanya ibu bapa yang dapat menilai kemampuan anak kecil mereka dan kemudian melakukan apa yang dirasakan perlu untuk membangunkan potensi dirinya.

Seseorang ibu atau bapa yang peka terhadap keupayaan anaknya akan memberi pendidikan yang lebih sempurna dan yang terbaik di peringkat awal lagi. Hal ini demikian kerana jika bakat atau kebolehan tidak dikembangkan secara tidak langsung akan mati. Ternyata, keadaan ini akan merugikan banyak pihak terutama kepada negara, kerana negara memerlukan golongan pintar cerdas ini untuk membangunkan negara.

Bakat

Aspek seterusnya ialah aspek bakat itu sendiri. Kebanyakan bakat itu diramal daripada tingkahlaku ramalan. (predictive behaviours). Bakat ini ditunjukkan secara domain dan dianggap bernilai oleh masyarakat. Terdapat bakat domain yang spesifik seperti seni visual, muzik, kesusasteraan, lakonan, tarian, sukan, rekaan, matematik, sains, dan sebagainya. Ini turut disokong oleh Model Gagne yang menekankan proses pembelajaran ataupun proses pembangunan bakat semulajadi yang dirangsang oleh pemangkin luaran dan interpersonal. Pemangkin-pemangkin ini memainkan peranan dalam membantu pengembangan bakat ataupun membantutkan pengembangan bakat.

Klik pautan berikut untuk maklumat tambahan: https://us.sagepub.com/sites/default/files/upm-assets/38607_book_item_38607.pdf

Klik pautan video berikut untuk tambahan rujukan:https://www.youtube.com/watch?v=j1WNvL73xIE


CIRI-CIRI KANAK-KANAK PINTAR CERDAS DAN BERBAKAT

Edit Posted by Cikgu Jusren, Cikgu Lozinah, Cikgu Vezlin with No comments

 Ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat dapat dilihat seperti berikut:

CIRI-

               CIRI-CIRI FIZIKAL

Ciri-ciri perkembangan fizikal kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat ini dapat dilihat sejak kecil hingga ke peringkat yang seterusnya. Biasanya pada umur diantara 0 hingga 11 bulan, kanak-kanak ini mula mengangkat kepala apabila diletakkan secara meniarap, membuat pergerakan menggunakan lengan dan kaki, mengambil objek menggunakan mulut dan berguling-guling ke belakang dan depan. Selain itu, mereka juga mula belajar untuk duduk dan memusingkan kepala sewaktu duduk. Kanak-kanak ini juga mula memegang objek kecil menggunakan sebelah tangan dan seterusnya dua belah tangan. Mereka juga mula merangkak untuk sampai ke destinasi yang ingin dituju dan pada peringkat akhir, mereka mula belajar berjalan secara perlahan-lahan dengan bantuan daripada orang lain.

Pada umur 8 hingga 20 bulan pula, ciri-ciri fizikal kanak-kanak ini mula menampakkan kemajuan yang semakin baik. Mereka sudah pandai duduk dengan adanya sokongan, mula memegang objek dengan kedua-dua tangan dan merangkak dengan lebih laju. Pada peringkat ini juga, mereka mula memegang perabot untuk belajar berdiri dan mula berjalan dengan bergantung kepada perabot tersebut. Pada umur 16 bulan, mereka mula berjalan sendiri dan cuba untuk memanjat khasnya tangga di dalam rumah. Pada peringkat akhir lingkungan umur ini, mereka sudah mula pandai membongkok untuk mengambil objek walaupun pergerakan tersebut masih belum stabil sepenuhnya lagi.


Pada peringkat umur 16 hingga 26 bulan atau juga dikira sebagai dua tahun, kanak- kanak ini semakin aktif. Mereka mula berjalan dengan sendirinya dengan lebih stabil, bangun dan duduk dari kerusi tanpa bantuan daripada orang lain, merangkak menggunakan sokongan tangan untuk menaiki tangga dan mula berminat dengan barang permainan yang berbentuk besar dan menarik. Mereka juga sudah mula belajar menendang bola, menconteng kertas menggunakan pensil dan mula belajar untuk menaiki basikal yang mempunyai tiga roda.

Seterusnya ciri-ciri fizikal ini dapat dilihat semasa kanak-kanak ini berumur 3 tahun. Pada peringkat ini mereka sudah pandai menolak dan menarik objek besar, berjalan dengan lebih aktif ke serata tempat, mula belajar berlari dan sudah pandai membuat pergerakan seperti menari iaitu respon kepada bunyi yang mereka dengar. Malah, mereka juga sudah pandai menghadapi sesuatu rintangan yang menghalang mereka. Pada peringkat ini juga mereka suka mengulang perbuatan seperti melompat dan sebagainya serta dapat memegang sesuatu objek dengan lebih kuat. Dalam peringkat ini juga, mereka sudah tahu menconteng kertas dengan membuat bentuk bulat secara bebas.

Ciri-ciri fizikal yang seterusnya pula dapat dilihat pada peringkat umur 4 tahun setengah. Kanak-kanak ini mula bergerak dengan lebih stabil, melompat dengan lebih yakin tanpa terjatuh dan dapat mengayuh basikal roda tiga dengan baik dan laju. Mereka juga mula berjalan secara berjengket-jengket iaitu kemahiran menguji kekuatan otot kaki dan berminat dengan permainan yang menguji kemahiran motor mereka seperti menguli tepung atau sebagainya. Pada peringkat ini juga, mereka sudah tahu untuk memakai kasut tanpa bantuan orang lain dan dapat mengenakan butang baju yang dipakai dengan betul.

 

CIRI-CIRI KOGNITIF

Satu cara utama guru bilik darjah boleh meluaskan pemahaman tentang pelajar pintar cerdas dan berbakat adalah melalui pengetahuan tentang ciri-ciri umum yang dipamerkan oleh individu ini dari aspek intelek ataupun kognitif mereka. Ciri-ciri dalam domain kognitif dan afektif pula merupakan dua aspek ciri yang paling kerap ditunjukkan dalam tingkah laku umum bilik darjah dan, boleh diperhatikan oleh guru bilik darjah.

Kognitif adalah merujuk kepada aktiviti-aktiviti mental yang terlibat dalam beberapa keupayaan untuk berfikir bagi menyelesaikan masalah, menaakul, menganalisis, dan membentuk konsep. Biasanya keupayaan kognitif kanak-kanak dalam golongan pintar cerdas ini dapat dikenalpasti seawal peringkat bayi lagi. Perkembangan kanak-kanak ini dapat diperhatikan dan dipantau oleh ibu bapa kerana biasanya mereka akan menunjukkan perkembangan yang lebih jauh berbanding dengan kanak-kanak seusianya. Sebagai ibubapa yang perihatin, mereka akan memberikan sokongan dan tumpuan yang lebih bagi membantu perkembangan kanak-kanak ini. Kemudian, tahap kebolehan kognitif kanak-kanak boleh diuji menggunakan ujian IQ. Kanak-kanak pintar cerdas biasanya akan mencapai tahap pencapaian sebanyak 140, namun kadangkalanya mereka boleh mencapai sehingga 170 mata. Namun demikian, kesahihan ujian ini masih boleh dipertikaikan kerana ada yang mengatakan perbezaan tahap umur akan menjejaskan perbandingan pencapaian dalam ujian IQ ini.

Di bawah ini disenaraikan beberapa ciri kognitif kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat yang diketahui umum.

a) Mempunyai daya tumpuan yang tinggi dalam melakukan sebarang kerja atau aktiviti.

Contohnya kanak-kanak yang diberikan permainan “blok dan puzzle” akan berusaha sedaya upaya bagi melengkapkannya. Mereka tidak akan menghiraukan orang atau keadaan sekeliling mereka kerana daya tumpuan mereka terhadap aktiviti yang menarik minat mereka yang terlalu tinggi. Mereka juga kurang berminat dengan permainan yang dimiliki oleh rakan mereka. Dalam proses pembelajaran pula, mereka akan memberi sepenuh tumpuan mereka kepada bidang yang mereka minati. Contohnya, individu yang pintar cerdas dalam matematik akan memberikan tumpuan yang penuh terhadap mata pelajaran ini dan tidak mudah berputus asa sekiranya mengalami kegagalan sebaliknya semakin melakukan penerokaan terhadap mata pelajaran ini.

b) Boleh dan mempunyai minat membaca diusia yang muda.

Biasanya kanak-kanak ini akan mula boleh membaca dalam usia kurang daripada lima tahun. Mereka juga akan fasih bercakap disamping mampu menggunakan laras bahasa dan kosa kata yang tinggi jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang seusianya. Contohnya, Shukri Hadafi yang boleh membaca surat khabar dengan lancar seperti orang dewasa seawal usia tiga tahun.

c) Mempunyai kelebihan yang luar biasa dalam mengingat sesuatu.

Dengan kelebihan yang mereka ada, mereka tidak perlu menghafal sesuatu fakta atau ilmu yang mereka pelajari. Mereka hanya perlu memahami isi kandungan dan akan meluahkan semula menggunakan bahasa sendiri. Kelebihan yang ada juga dapat membolehkan mereka membaca dengan cepat dan cepat memahami apa yang mereka ingati. Contohnya, Adi Putra yang genius dalam matematik sehingga dapat menghasilkan 235 formula. Anugerah yang dimiliki beliau dalam ilmu matematik diluahkannya semula dalam bentuk formula matematik yang diciptanya sendiri sehingga membolehkannya untuk menjawab soalan matematik dengan pantas yang sudah pasti agak sukar dilakukan oleh individu yang biasa. Begitu juga dengan Nurussyahamah Taqiah yang telah khatam Al-Quran seawal usia lima tahun selain mahir dalam tiga bahasa.

d) Perasaan ingin tahu

Disebabkan perasaan ingin tahu mereka yang kuat, kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat biasanya akan sentiasa mengemukakan soalan-soalan yang mencabar dan inovatif yang mana  pemikiran mereka selalunya diluar jangkauan akal kanak-kanak normal. Pada peringkat kanak-kanak lagi sifat ini boleh dikenalpasti, contohnya mereka akan membuka kereta mainan mereka untuk mengetahui komponen-komponen yang ada dalam kereta tersebut. Kadangkalanya sifat ini akan dikenalpasti sebagai perosak oleh ibubapa yang kurang memahami anak mereka yang pintar cerdas. Dalam proses pembelajaran pula, pelajar ini banyak menimbulkan kekeliruaan kepada rakan sebaya yang lain disebabkan pelajar ini kerap mengutarakan soalan di luar daripada tajuk yang diajar. Disebabkan sikap inkuiri yang tinggi dalam diri mereka, maka pelajar pintar cerdas dan berbakat mempunyai seribu satu persoalan di dalam diri mereka terhadap sesuatu topik. Contohnya, persoalan tentang isu pencemaran, peperangan, kebuluran dan sebagainya yang memerlukan kajian yang lebih mendalam.

e) Kebolehan membuat rumusan, menganalisa dan menaakul

Kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat bukan sahaja mampu untuk memahami pelajaran malah mereka juga boleh membuat rumusan ke atas proses pengajaran dan pembelajaran serta boleh menganalisa dan memberi alasan kepada keputusan yang diambil selepas sesuatu analisa dibuat. Contohnya, murid pintar cerdas membuat kesimpulan tentang topik isu kemelesatan ekonomi. Bukan hanya setakat golongan ini dapat menyatakan punca dan kesan tentang kemelesatan ekonomi malah dapat menghuraikan dengan lebih mendalam tentang bagaimana untuk mengatasi masalah tersebut dengan baik dengan mengutarakan hujah yang menjangkaui akal fikiran seseorang.

f) Memindahkan apa yang dipelajari ke bidang lain.

Contohnya, mereka boleh mengaitkan teori-teori yang dipelajari berkaitan dengan burung dengan mengaitkannya dengan bagaimana terciptanya kapal terbang. Ini bermakna individu pintar cerdas dan berbakat ini mampu untuk membuat penciptaan terhadap sesuatu dengan hanya berdasarkan kepada teori yang diketahuinya. Tidak hairanlah apabila golongan ini dilabelkan sebagai golongan yang berbakat dan kreatif kerana mampu untuk mencipta sesuatu yang baharu.

g) Memahami dua konsep yang seolah-olah sama. 

Ini bermaksud kanak-kanak pintar cerdas mampu memahami atau membezakan dua konsep yang seolah-olah sama contohnya mereka dapat membezakan konsep berat dan ketumpatan, cahaya dan terang dan menakrifkan perbezaan antara makan dan minum. Bagi individu normal, kadang kala dua konsep yang hampir sama masih menjadi kekeliruaan disebabkan tahap intelek yang masih belum mencapai tahap kematangan.

h) Tertarik kepada pemikiran abstrak. 

Kanak-kanak pintar cerdas ini mampu memahami pengetahuan yang canggih, abstrak dan kompleks sehingga diluar jangkauan akal kanak-kanak normal yang lain. Umpamanya mereka akan cuba memikirkan alam selepas kematian manusia. Kanak-kanak ini juga mempunyai perasaan sensitif yang tinggi terhadap perkara yang melampaui tahap pemikirannya yang masih muda seperti isu peperangan, kebuluran, pencemaran, ketidakadilan dan keganasan. Malangnya, jika mereka terlampau memikirkan isu global ini secara mendalam, mereka akan menjadi seorang yang introvert dan mungkin menjurus ke arah kemurungan yang teruk di masa akan datang.

i) Memahami kebolehan intelek sendiri

Kanak-kanak pintar cerdas ini telah menyedari potensi mereka pada peringkat awal usia mereka lagi, jadi dengan kesedaran itu maka mereka akan cuba untuk melakukan sesuatu mengikut impian dan juga gaya pembelajaran mereka sendiri. Mereka telah menyedari di mana kekuatan yang mereka ada dan akan mengaplikasikannya bagi mencapai matlamat mereka. Mereka juga menyedari bahawa sekiranya mereka tidak mengaplikasikan pengetahuan yang mereka ada mungkin mereka akan lupa. Bagi mencapai matlamat mereka, ciri-ciri kognitif seperti memberikan tumpuan penuh terhadap perkara yang diminati dan juga bersikap inkuiri yang dizahirkan melalui penyoalan dan penerokaan akan ditunjukkan oleh golongan kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat ini. Selain itu, mereka juga hanya akan melakukan perkara yang menjadi kesukaan mereka tanpa menghiraukan individu di sekeliling mereka. 

Manakala ciri-ciri istimewa kanak-kanak pintar cerdas yang berkaitan dalam bidang matematik pula ialah;

i) boleh membuat generalisasi

ii) kebolehan menaakul

iii) kebolehan untuk mengingat

iv) berfikir secara logik

v) fleksibel

vi) kebolehan dalam menyelesaikan masalah

 

Sebagai contoh, kanak-kanak pintar cerdas Adi Putra telah dikenalpasti bakat dan kebolehannya dalam bidang matematik sejak berumur tiga tahun lagi. Bermula dari usia yang sangat muda dia telah menunjukkan potensi diri yang luar biasa antaranya ialah;

i) Mencipta kaedah menguasai sifir 1 hingga 12 dengan cara baru.

ii) Semasa berumur 5 tahun dia mula mencipta kaedah pengiraan cepat bagi 4 operasi asas iaitu, tambah, tolak, darab dan bahagi.

iii) Semasa berumur 6 tahun lagi, dia telah menonjolkan dirinya kepada umum dan mampu membuat soalan-soalan algebra, log, trigonometri, bearing dan lain-lain serta mampu untuk menerangkan kepada orang lain bagaimana untuk mendapatkan jawapan tersebut. Dia juga dianggap telah dapat mengatasi bagaimana seorang profesor mengajar.

Kesimpulannya, kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat adalah golongan yang mana kebolehan mental mereka adalah jauh lebih tinggi daripada rakan sebaya. Jadual berikut merupakan rumusan ciri kognitif umum pelajar yang pintar cerdas dan berbakat yang telah disenaraikan oleh Chuska (1989), Clark (2002), Silverman (2000), dan Winebrenner (2001)Daripada jadual tersebut didapati bahawa pelajar pintar cerdas dan berbakat mempunyai keinginan yang kuat untuk mempelajari tentang perkara yang diminati oleh mereka sendiri. Selain itu, keupayaan mereka untuk berfikir pada tahap abstrak juga adalah lebih awal daripada rakan sebaya yang sama umur disamping dapat membentuk cara pemikiran mereka sendiri tentang masalah dan idea.


Ciri-ciri kognitif pelajar pintar cerdas dan berbakat

1. Memproses dan menyimpan sejumlah besar maklumat.

2. Tahap pemahaman yang tinggi terhadap perkara yang abstrak.

3. Bersikap ingin tahu yang tinggi dan mempunyai minat yang berbeza-beza.

4. Tahap perkembangan bahasa dan keupayaan lisan yang tinggi.

5. Mempunyai proses pemikiran yang cepat dan fleksibel.

6. Keupayaan awal untuk menyiapkan tugasan daripada masa yang sepatutnya.

7. Keupayaan melihat hubungan luar biasa dalam sesuatu perkara.

8. Mahir menjana idea asli dan penyelesaian kepada masalah.

9. Berterusan, berorientasikan matlamat, dan fokus mengenai topik yang diminati.

10. Membentuk cara mereka sendiri berfikir tentang masalah dan idea.

11. Mempelajari sesuatu perkara pada usia yang lebih awal daripada rakan sebaya.

12. Keperluan kebebasan dan keperibadian dalam situasi pembelajaran.

13. Keinginan yang tinggi untuk belajar dan mencari minat mereka sendiri.

14. Pemikir abstrak pada usia yang lebih awal daripada rakan sebaya.

15. Lebih suka kerja yang kompleks dan mencabar.

16. Memindahkan pengetahuan dan mengaplikasikannya pada situasi baharu.

17. Mungkin lebih suka bersendirian.

18. Mungkin berkeupayaan sebagai pembaca awal.

19. Mungkin mempunyai tahap tenaga yang tinggi dan tumpuan perhatian yang lebih lama.

 

(Chuska, 1989; Clark, 2002; Silverman, 2000; Winebrenner, 2001)

Semua ciri kognitif yang ditunjukkan oleh individu pintar cerdas dan berbakat ini memberi gambaran bahawa pelajar golongan ini memerlukan sukatan kandungan pelajaran yang berbeza dan perlu mempunyai pilihan lanjutan dalam aktiviti pembelajaran. Tahap tenaga yang tinggi oleh pelajar pintar cerdas dan berbakat ini pula jelas menunjukkan mereka mempunyai keupayaan untuk melanjutkan rangkaian projek selain memberikan petunjuk bahawa kajian bebas ataupun pembelajaran secara eksplorasi mungkin menjadi pilihan untuk membezakan pendekatan, strategi, kaedah dan teknik pengajaran untuk pelajar dalam kumpulan ini.

 

CIRI-CIRI TINGKAH LAKU 

Renzulli (1978) menyatakan bahawa pelajar-pelajar cerdas pintar menunjukkan tingkah laku pintar cerdaspada situasi-situasi tertentu. Beliau mencadangkan tiga trait utama yang bergabung menjadikan seseorang pelajar itu dikategorikan sebagai pintar cerdas. Trait-trait tersebut ialah kecerdasan atau potensi kognitif yang luar biasa, menyelesaikan masalah secara kreatif, dan komitmen yang tinggi dalam melakukan sesuatu tugas. Trait kecerdasan seperti yang telah dihuraikan merupakan ciri-ciri kognitif. Kreativiti pula seperti huraian Piirto (1999) merupakan ciri-ciri personaliti. Komitmen dalam melaksanakan sesuatu perkara pula merupakan sebahagian daripada trait tingkah laku pintar cerdas.

Tingkah laku Pintar Cerdas boleh diukur dalam aspek atau domain berikut: Pembelajaran, Kepimpinan, Komunikasi, Perancangan, Motivasi, Kreativiti, Dramatik, Muzikal, dan Seni. Aspek-aspek tersebut terdapat dalam Skala Pemarkatan Tingkah Laku, Scale for Rating the Behavioral Charactersitics of Superior Students (SRBCSS) (Renzulli et al. 2002). Penilaian terhadap tingkah laku boleh dibuat dengan menggunakan skala pemarkatan tingkah laku oleh guru-guru yang mengajar pelajar-pelajar berkenaan. Guru-guru yang mengajar pelajar pintar cerdas mengenali kekuatan yang ada pada mereka. Guru-guru boleh membuat pemarkatan untuk menilai tingkah laku pintar cerdas dan tahap kekuatan tingkah laku tersebut dalam aspek-aspek yang terdapat dalam SRBCSS (Renzulli et al. 2002).

 

CIRI-CIRI EMOSI DAN SOSIAL (Afektif)


Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, afektif adalah berkaitan dengan perasaan mahupun emosi dan bukannya melibatkan tentang fikiran atau daya berfikirManakala menurut Krathwohl dan rakan-rakannya (1964) iaitu orang pertama yang menggunakan terminologi ‘afektif” telah menemukan satu lagi domain penting dalam perkembangan manusia iaitu afektif. Mereka telah mengkategorikan afektif kepada tiga ciri iaitu penerimaan (receiving), tindak balas (responding), menghargai dan menilai sesuatu idea (valuing), menyelaraskan sistem nilai (organizing a value set) dan mengamalkan sesuatu mengikut sistem nilai yang kompleks (characterization). Antara ciri-ciri emosi dan sosial (afektif) kanak-kanak pintar cerdas yang dapat dilihat pada kanak-kanak ini ialah: 

a) Karismatik

Kanak-kanak pintar cerdas ini biasanya mempunyai gaya tersendiri dan personaliti yang agak berbeza daripada orang lain. Oleh itu mereka biasanya akan menjadi bintang di sekolah di mana mereka akan menjadi perhatian masyarakat di sekelilingnya. Dengan kebolehan dan bakat semula jadi mereka yang luar biasa, sudah pastinya golongan ini akan lebih terserlah jika dibandingkan dengan rakan sebaya yang lain. Contohnya, mempunyai karismatik dalam menzahirkan idea dan pandangan yang menjangkaui akal pemikiran menyebabkan mereka sering dijadikan sebagai role model ataupun contoh dalam sesuatu kumpulan. Malah, golongan ini juga mempunyai daya tarikan dari aspek kebolehan dan intelek yang luar biasa sehingga menerima pelbagai tawaran dalam kehidupan mereka sama ada peluang pekerjaan mahupun peluang pendidikan.

b) Mementingkan kesempurnaan (Perfectionist)

Kanak-kanak pintar cerdas ini akan melakukan kerja-kerja dengan penuh minat dan mereka amat mementingkan kesempurnaan. Walaupun mereka dapat menyiapkan kerja-kerja mereka namun masih mementingkan kepada kesempurnaan dan sikap ini akan menyebabkan mereka meluangkan banyak masa terhadap apa jua kerja yang dilakukan. Kadangkalanya mereka akan melakukannya sehingga berulang kali bagi mendapatkan hasil yang benar-benar memuaskan hati mereka. Sikap ini juga kadangkalanya akan menimbulkan kemarahan dan ketidak puasan hati mereka terhadap orang lain atau rakan-rakan mereka kerana mereka juga akan menjangkakan hasil yang sama seperti yang dilakukannya daripada orang lain. Namun, sikap ini hanya akan menyebabkan golongan ini menunjukkan sikap introvert ataupun suka menyendiri yang akhirnya akan menyebabkan tekanan perasaan dan emosi kepada mereka.

c) Berasa tertekan

Sebagai seorang yang bersikap teliti dan mempunyai matlamat sendiri semenjak dari awal lagi, mereka akan mudah rasa tertekan dalam usaha untuk mengatasi orang lain. Sikap ini juga menunjukkan bahawa mereka takut kalah kepada orang lain dan akan mencetuskan kesan sosio emosi yang lain seperti mempunyai daya imaginasi yang tinggi. Mereka akan berfikir di luar jangkauan kanak-kanak normal dan ini akan menyebabkan mereka mudah terangsang. Contohnya ketika tidur, mereka mudah terjaga kerana terlalu memikirkan imaginasi mereka. Mungkin bila menonton cerita seram, mereka mula memikirkan pelbagai perkara yang berkaitan dengan rentetan cerita tersebut. Berikutan dengan sikap ini mereka mungkin akan menjadi fobia kepada bencana seperti kegelapan dan kematian kerana mereka akan sentiasa memikirkan. Contohnya mereka akan selalu bertanya mengenai soal kematian, apa yang berlaku kepada manusia selepas mati, boleh tak kalau manusia tak mati. Persoalan-persolan seumpama ini akan menyebabkan mereka menjadi terlalu sensitif dan fobia kepada sesuatu kejadian. Malah, isu semasa yang terjadi di persekitaran mereka juga akan sentiasa bermain di minda mereka dan menyebabkan mereka rasa tertekan untuk mendapatkan jawapan. Contohnya, isu peperangan yang berlaku di persekitaran mereka.

d) Sentiasa bekerja kuat

Kanak-kanak pintar cerdas biasanya telah mengenalpasti matlamat mereka sejak awal lagi dan mereka akan sentiasa berusaha untuk mencapai matlamat mereka itu. Disebabkan terlalu memikirkan kepada sesuatu yang dilakukan sehingga kadang kalanya mereka tidak tidur. Contohnya kanak-kanak yang bermain “puzzle”, mereka tidak akan tidur sehinggalah dapat melengkapkannya. Individu dalam golongan ini biasanya akan memberikan perhatian kepada perkara yang disukainya menyebabkan mereka akan bekerja kuat untuk mencapai keinginan mereka.

f) Suka menyendiri

Disebabkan terlalu menumpukan kepada kerja, kanak-kanak pintar cerdas ini dikatakan lebih suka menyendiri dan menyebabkan hubungan sosialnya agak kurang baik berbanding dengan kanak-kanak seusia mereka. Malah, mereka juga mempunyai peribadi yang introvert sehingga mereka dipulaukan oleh rakan-rakan sebaya yang lain. Kemampuan tahap intelek dan cara pemikiran mereka yang tinggi, lebih matang dan tidak setanding dengan rakan sebaya yang lain juga menyebabkan mereka lebih suka berdiam diri daripada bergaul dengan rakan-rakan sebaya.

Kesimpulannya, kesedaran tentang ciri-ciri sosial dan emosi pelajar pintar cerdas dan berbakat boleh membantu guru memahami dengan lebih jelas tentang tingkah laku di dalam bilik darjah yang boleh mereka perhatikan di dalam diri kanak-kanak ini. Sebagai contoh, keinginan kanak-kanak berbakat untuk berkongsi pengetahuan mungkin dilihat oleh orang lain sebagai percubaan untuk menunjuk-nunjuk dan boleh menyebabkan penolakan rakan sebaya untuk bersahabat dengan kanak-kanak pintar cerdas iniManakala, harapan yang tinggi pula oleh pelajar yang pintar cerdas dan berbakat terhadap diri sendiri dan juga orang lain boleh membawa kepada kesempurnaan, ketidakpuasan peribadi, atau perasaan putus asa (Clark, 2002). Secara ringkasnya, jadual berikut memberikan gambaran keseluruhan tentang ciri-ciri pelajar berbakat dari aspek afektif yang telah dinyatakan oleh Chuska (1989), Clark (2002), Silverman (2000) dan Winebrenner (2001).


Ciri-ciri afektif pelajar pintar cerdas dan berbakat.

1. Memiliki sejumlah besar maklumat tentang emosi.

2. Mungkin mempunyai sensitiviti yang luar biasa terhadap perasaan orang lain.

3. Mempunyai rasa rumor yang tajam atau halus.

4. Mempunyai rasa kesedaran diri yang tinggi.

5. Idealisme dan rasa keadilan muncul pada usia awal.

6. Kembangkan kawalan dalaman lebih awal.

7. Mempunyai kedalaman dan keamatan emosi yang luar biasa.

8. Menunjukkan harapan yang tinggi terhadap diri sendiri dan orang lain.

9. Tunjukkan keperluan yang kuat untuk konsisten dalam diri mereka dan orang lain.

10. Mempunyai tahap perkembangan moral yang tinggi.

(Chuska, 1989; Clark, 2002; Silverman, 2000; Winebrenner, 2001)

Walau bagaimanapun, guru harus ingat bahawa ciri-ciri yang disenaraikan adalah tidak menyeluruh dan setiap kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat tidak akan menunjukkan setiap ciri yang dinyatakan. Malah, pelajar berbakat kognitif yang disebut dalam kesusasteraan sebagai atipikal mungkin memaparkan kebolehan mereka dengan cara yang lain. 


CIRI-CIRI PERSONALITI

Murphy-Meisgeier Type Indicator for Children (MMTIC) adalah satu instrumen menentukan personaliti yang berkembang daripada The Myers-Briggs Type Indicator (MBTI). MBTI adalah instrumen khusus mengenal personaliti orang dewasa hasil kerja Carl Jung (1923) manakala MMTIC adalah instrumen khusus untuk menilai personaliti kanak-kanak. MMTIC berkembang hasil usaha Elizabeth Murphy dan Charles Meisgeier pada tahun 1987 untuk menilai personaliti kanak-kanak berumur 8-12 tahun yang bertujuan membantu kanak-kanak mengenali diri mereka dengan lebih baik serta memberikan panduan kepada guru untuk menyediakan platform pengajaran dan pembelajaran yang lebih efektif.

Menurut Ruf (2008), MMTIC telah menyearaikan lapan jenis personaliti yang terkandung di dalam kanak-kanak pintar cerdas yang memberi kesan terhadap tingkahlaku dan gaya mereka belajar. Lapan jenis personalitI telah dikenalpasti ialah,

a) Extrovert

Kanak-kanak pintar cerdas ini dikategorkan sebagai ekstrovert kerana mempunyai tenaga yang banyak untuk bergaul dengan ramai orang serta berkomunikasi dengan yang lain

b) Introvert

Kanak-kanak pintar cerdas mendapat tenaga menerusi kaedah bersendirian. Walaupun mereka masih bergaul dengan ramai orang tetapi memerlukan masa untuk bersendirian bagi memulihkan tenaga.

c) Sensing

Kanak-kanak pintar cerdas mengumpul maklumat menerusi penggunaan semua deria. Mereka sangat teliti dan lebih suka fakta berbanding teori. Mereka suka membuat senarai, arahan yang jelas, jadual dan kadangkala sukar membuat generalisasi.

d) Intuition

Kanak-kanak pintar cerdas kategori ini suka menggunakan naluri dalam melakukan sesuatu atau menyelesakan masalah dan bersikap analitikal dan teoritikal. Mereka lebih gemar melihat sesuatu perkara itu secara umum, menerusi generalisasi dan selesa dengan istilah tidak pasti.

e) Feeling

Kanak-kanak pintar cerdas kategori ini pula lebih mementingkan perasaan. Mereka suka bersifat menang dan menang. Mereka juga sangat pemurah dengan pujian. Namun mereka terlalu menjaga kepentingan orang lain dan kadangkala mudah kecewa jika tidak dihargai.

f) Thinking

Kategori kanak-kanak di bawah personaliti ini bersifat praktikal, dan menggunakan logic berbanding perasaan. Mereka melihat perasaan orang lain sebagai perkara kedua setelah sesuatu keputusan diambil dan dilihat kurang sensitive dalam pergaulan dan komunikasi.

g) Judging

Kanak-kanak pintar cerdas di bawah kumpulan ini bersifat sistematik, tersusun, dan membuat sesuatu keputusan yang boleh dijangka oleh orang lain. Mereka berasa terbaik apabila tugas selesai dengan sempurna, tepat pada masa dan kemas.

h) Perceiving

Kanak-kanak kategori ini lebih bersifat fleksibel, berfikiran terbuka dan kadangkala spontan. Kanak-kanak kategori ini juga dilihat berdikari, membuat keputusan berdasarkan perasaan ketika itu (mood), masa, dan dirasakan betul untuk mereka.

Walaupun penyenaraian di atas bersifat tunggal setiap satunya, namun realitinya, kanak-kanak pintar cerdas mempunyai kombinasi MMTIC yang pelbagai. Hasil penyenaraian MMTIC di atas, membuatkan guru lebih memahami bagaimana kanak-kanak ini belajar pada keadaan terbaik mereka. Guru yang memahami personaliti kanak-kanak pintar cerdas secara menyeluruh akan memberikan ruang yang lebih kepada kanak-kanak pintar cerdas untuk membentuk perhubungan yang sihat antara guru dan rakan (Paladin; 2006 dalam Ruf; 2008).


CIRI-CIRI PEMIKIRAN KREATIF – Produktif

Antara ciri yang dipamerkan dengan memiliki pemikiran yang kreatif ialah sangat yakin ketika menjelaskan dan menyatakan idea-idea yang telah difikirkan serta idea-idea yang bernas itu terhasil daripada kebolehan mereka dalam membuat hubung kait antara dua idea yang terpencil yang tidak dapat dilihat dan difikirkan oleh orang lain. Malahan, kanak-kanak pintar cerdas juga boleh meneka dan mengecam akan kewujudan seseuatu masalah dalam sesuatu perkara tertentu dan secara spontan mereka dapat bertindak mengikut daya pemikiran yang kreatif. Relaitinya, idea yang sering dilontarkan dapat dikekalkan dengan hujah-hujah yang boleh menarik minat orang lain.

Apa yang lebih penting apabila mereka berjaya mengekalkan idea dalam setiap perbincangan atau kolaborasi dengan mereka yang normal. Dalam pada itu, mereka menunjukkan minat yang mendalam dalam menghasilkan projek tertentu seperti projek sains dan robotik. Hal ini demikian kerana projek-projek seperti ini akan menggalakkan mereka supaya berimaginasi dengan lebih jauh dan mendalam. Jika ada yang cuba menandingi idea yang telah dilakukan oleh mereka, pelbagai persoalan akan diajukan sehingga mereka berpuas hati dengan jawapan yang diberikan.

Terdapat banyak kumpulan pelajar yang perlu dipertimbangkan semasa mengenal pasti pelajar berbakat atipikal, termasuk, tetapi tidak terhad kepada, pelajar bukan berbahasa Inggeris dan pelajar daripada keadaan sosioekonomi rendah. Malangnya, penyelidikan telah menunjukkan bahawa guru sering mengabaikan pelajar berbakat atipikal apabila bilangan kanak-kanak Eropah-Amerika yang tidak seimbang dengan ciri-ciri "mesra guru" seperti tingkah laku yang baik dan pencapaian akademik yang tinggi kepada program pendidikan berbakat (Plata dan Masten, 1998; Bonner, 2000 ). Banyak ciri pelajar berbakat atipikal jelas dalam semua pelajar berbakat kognitif. Namun, kerana perbezaan budaya atau kekurangan pengalaman awal, mereka tidak memaparkan ciri-ciri tipikal pelajar berbakat kognitif yang sering dipertimbangkan oleh guru apabila membuat rujukan terhadap kanak-kanak pintar cerdas dan berbakatBerikut merupakan ciri-ciri tambahan pelajar pintar cerdas dan berbakat yang dinyatakan oleh Bonner (2000), Hebert dan Reis (1999) dan Schwartz (1997).


Ciri-ciri tambahan pelajar pintar cerdas dan berbakat

1. Keupayaan untuk memanipulasi sistem simbol.

2. Berfikir secara logik.

3. Kebolehan menggunakan pengetahuan yang disimpan untuk menyelesaikan masalah.

4. Dapat mengaitkan sebab dengan analogi.

5. Memindahkan pengetahuan kepada keadaan baharu.

6. Mungkin memiliki kebolehan kreatif dan artistik.

7. Berdaya tahan; mampu menghadapi situasi keluarga yang mencabar.

8. Mengambil peranan orang dewasa di dalam rumah.

9. Rasa bangga dan harga diri yang kuat.

10. Mempamerkan keupayaan kepimpinan dan pemikiran bebas.

11. Mempunyai keinginan yang kuat untuk mempelajari dan memahami budaya mereka.

12. Tunjukkan kehendak dalaman yang kuat.

13. Boleh menunjukkan kepakaran yang tinggi kepada orang lain dan dunia di sekeliling mereka.

(Bonner 2000; Hebert dan Reis 1999; Schwartz 1997)

 

CIRI-CIRI UNIK KANAK-KANAK PINTAR CERDAS DAN BERBAKAT

1. PERSONALITI

a) Minat

Minat yang luas dan mendalam dalam pelbagai topik dan bidang menyebabkan konsep kendiri mereka menjadi positif, yakin dan optimistik (selalu berfikir yang positif). Ini berlaku apabila mereka “berfungsi” secara sihat. Yang sebaliknya akan berlaku apabila mereka menghadapi cabaran tertentu, contohnya mereka tidak difahami oleh orang biasa.

b) Berkarisma

Karismatik, popular dan ada gaya sendiri yang unik menjadikan mereka bintang dalam kelas. Sikap degil dan tidak fleksibel seperti tidak mahu melakukan sesuatu kerja yang tidak diminati serta yang dianggap di luar bidangnya. Selalu bersifat ekstrim.

c) Teliti

Melakukan kerja dengan teliti,serta sukakan projek besar yang mengambil masa panjang dan usaha berterusan. Mereka juga sukakan kepada perincian iaitu sikap perfeksionis.

d) Takut kalah

Selalu berasa tertekan untuk mengatasi orang lain. Sikap takut kalah itu sering membawa kepada sikap cemburu dan masalah sosio-emosi yang lain.

e) Sentiasa tidak berpuas hati

Mereka sering meletakkan permintaan dan jangkaan yang tinggi terhadap hasil kerja sendiri. Selalu tidak puas hati dengan pencapaian sendiri dan orang lain dan terlalu bersungguh-sungguh semasa bekerja, tetapi tetap tidak puas hati apabila kerja disiapkan.

f) Lebihan tenaga

Banyak tenaga, seolah-olah tidak perlu tidur apabila melakukan kerja yang diminati. Motivasi mereka menjadi tinggi pada kerja-kerja yang sangat diminati seperti contohnya main lego sampai larut malam.

 

2. KEBOLEHAN KOGNITIF YANG TINGGI


a) Mampu memahami konsep yang canggih, abstrak dan kompleks

Ahli falsafah, merupakan golongan yang tinggi kecerdasan. Kecerdasan berkait rapat dengan pemahaman abstrak yang tinggi. Kecerdasan juga boleh dinilai apabila mereka memahami apa yang dibaca walaupun membaca secara senyap untuk masa yang panjang. Kanak-kanak pintar cerdas tidak suka diganggu dan mudah menjadi marah apabila diganggu semasa melakukan sesuatu yang diminatinya.

b) Pengetahuan atau skemata yang luas

Memahami banyak konsep yang tidak difahami kanak-kanak yang sebaya. Ini menyebabkan mereka gemar meminati permainan yang rumit dan mencabar seperti mainan ingatan, scrabble, silang kata, catur dan permainan komputer yang menguji minda mereka.

c) Memahami persamaan dua konsep

Dapat memahami persamaan dua konsep yang tidak diperhatikan oleh individu yang lain. Contohnya antara persamaan telur dan biji benih adalah kedua-duanya dilindungi cengkerang, mengandungi nutrien untuk tumbesaran bayi, bentuk bujur dan sebagainya.

d) Memahami perbezaan dua konsep yang seolah-olah sama

Dapat memahami perbezaan dua konsep yang seolah-olah sama. Dapatkah anda membezakan konsep berat dan ketumpatan? Cahaya dan terang? Cahaya adalah kata nama dan terang adalah adjektif kepada cahaya. Bolehkan anda menakrifkan perbezaan makan dan minum? Seorang kanak-kanak yang pintar cerdas mungkin menakrifkan makan sebagai kunyah dan minum itu sedut.

d) Memahami manakah isu yang penting

Dapat memahami manakah isu yang penting, idea yang teras atau prinsip asas yang penting. Kanak-kanak biasa hanya memberi perhatian kepada perincian yang kurang penting. Contohnya semasa melakukan hasil seni, mereka mementingkan hasilan kerja yang cantik walaupun tidak mengikut cara yang dicadangkan oleh guru kerana mereka menggunakan cara yang tidak terfikir oleh orang lain. Mereka menyedari dan memahami prinsip asas seni iaitu nilai hasil seni terletak pada kecantikannya bukan kaedah atau cara penghasilan.

e) Menggunakan dan memahami kosa kata yang lebih maju

Menggunakan dan memahami kosa kata yang lebih maju, ini menggambarkan mereka memahami lebih banyak konsep dan objek berbanding rakan sebaya. Ianyai boleh dilihat dari tingkah laku kanak-kanak lain menanyakan maksud perkataan yang digunakan oleh kanak-kanak pintar cerdas.

f) Kebolehan membuat rumusan, menganalisa, menaakul

Kebolehan membuat rumusan, menganalisa, menaakul. Contohnya mengandaikan makanan yang dihadam akan menjadi hasil perkumuhan. Mereka juga mampu mengaitkan konsep yang difahami dalam situasi baru. Contohnya burung boleh terbang sebab terdapat sayap. Kapal terbang juga boleh terbang sebab ada sayap seperti burung.

g) Ingatan semulajadi

Ingatan semulajadi mereka ialah ingatan cair yang memangpun tinggi, dibuktikan dengan kadar mereka mengumpul maklumat seperti membina kosa kata yang banyak walaupun di persekitaran yang sama dengan adik-beradik yang lain. Akibat pengetahuan sedia ada yang banyak, mereka cepat membina dan menyerap konsep baru dengan mengaitkan apa yang telah sedia difahami oleh mereka sebelum ini.

h) Memindahkan apa yang dipelajari ke bidang lain

Memindahkan apa yang dipelajari ke bidang lain. Semasa penyelesaian masalah, mereka dapat menyelesaikan masalah pada situasi yang berbeza. Contohnya pelajar yang menggunakan teknik untuk mengingati fakta dalam subjek dan situasi yang berbeza. Jesteru itu mereka dengan mudah menyedari hubungan antara konsep yang nampaknya tidak berkaitan. Contohnya Newton mengaitkan kejatuhan epal dengan daya tarikan yang tidak boleh nampak.


3. SIFAT INGIN TAHU


a) Suka bertanya soalan yang mencabar dan inovatif, menunjukkan pemahaman yang matang dan canggih. Contohnya kenapa bintang suka berkelip-kelip? Kenapa planet Zuhal (Saturn) ada gegelang di kelilingnya? Adakah tumbuhan beremosi / jiwa?


b) Suka membaca buku yang berdasarkan fakta seperti ensiklopedia, menonton dokumentari dan melawat muzium.


c) Berminat dengan topik seperti dinasour, makhluk asing, ekologi, apa yang berlaku selepas kematian, cerita dongeng, biografi dan ajaran agama yang lain.


d) Tidak mudah menerima jawapan yang ringkas dan mudah, ingin memahami sesuatu secara mendalam (Kenapa saya tidak berasa terbalik apabila berdiri di hemisfera selatan bumi?). Menjadi kecewa kalau persoalannya tidak terjawab oleh orang dewasa.


e) Suka memahami sebab dan akibat sesuatu, seperti bagaimana mesin boleh bergerak. Ingin membuka jam untuk memahaminya, dan memikirkan cara menggunakan prinsip jam untuk tujuan yang lain.


f) Memberi alasan / andaian (hipotesis) terhadap kejadian tertentu. Bunga matahari menyerap cahaya matahari! Durian ada duri untuk mengelakkannya dimakan binatang lain. Fungsi rambut adalah menyerap cahaya matahari sebab warna hitam boleh menyerap haba. Saya kencing sebab poket dalam badan saya telah penuh! (Tidak penting kalau penemuan, alasan atau hipotesis itu tidak tepat atau salah, yang penting adalah kebolehan memberi alasan dan pemikiran logikal). Kebolehan ini selalu dapat diperhatikan pada ahli teori.


g) Suka mencipta dan menjalankan eksperimen. Mungkin hanya eksperimen yang ringkas. Contohnya meniup udara ke dalam air gelas untuk memerhatikan buih udara, atau mencampurkan susu dengan Rebena untuk mendapatkan minuman baru yang berlainan rasa.

 

4. PERKEMBANGAN AKADEMIK YANG MAJU


a) Menonjol dalam pemahaman pembacaan, boleh memahami maksud tersirat. Pemahaman yang tinggi ini boleh dilihat dari dua segi, iaitu kecerdasan bahasa yang baik dan juga mereka cepat membina maksud daripada apa yang telah dibaca.


b) Menonjol dalam matematik, terutamanya pemahaman matematik dan menyelesaikan masalah dengan cara yang kreatif (seperti menggunakan grafik / melukis untuk menggambarkan soalan). Contohnya dapat mengaitkan algebra dengan geometri.


c) Suka kepada buku, membaca untuk keseronokan / sebagai minat. Ini boleh dilihat dengan tingkah laku seperti suka mengunjungi perpustakaan, membaca surat khabar dengan teliti, membeli buku sendiri. Perlu diingatkan, kecerdasan bahasa adalah kecerdasan yang diiktiraf tinggi dalam budaya kita, tetapi bukan semua individu pintar cerdas adalah canggih dari segi bahasa. Biasanya mereka yang tinggi kecerdasan bahasa, akan mendapat pengiktirafan awal.


d) Fasih bercakap. Idea yang lancar dan menggunakan bahasa yang lebih rumit, seperti ayat yang lebih panjang dan kompleks.


e) Membaca buku yang lebih susah. Apa yang membezakan mereka dengan pelajar biasa bukan setakat tabiat membaca tetapi yang lebih penting mereka membaca buku yang lebih berkualiti. Ini bermaksud buku yang memerlukan pemahaman yang lebih tinggi. Rakan yang sebaya tidak membaca buku yang disukainya. Adik-beradik tidak menyentuh koleksi bukunya.


f) Menonjol dalam bahasa bertulis. Boleh membina ayat sendiri pada umur yang muda. Berminat dengan membentuk garisan pada pelbagai permukaan dan memegang pena semasa kecil. Ada gaya yang tersendiri dalam bahasa. Penyampaian yang lebih berkesan, contohnya menggunakan analogi atau gambaran visual untuk menyampaikan maksud secara tepat.

 

5. PERKEMBANGAN FIZIKAL


a) Secara keseluruhannya perkembangan fizikal mereka lebih baik daripada rakan sebaya.


b) Berat badan yang lebih tinggi semasa lahir.


c) Jangkaan hidup yang lebih panjang (akibat sikap mementingkan kesihatan, keadaan status sosio-emosi yang lebih bagus dan mungkin faktor genetik).


d) Kadar penyakit kemerosotan mental seperti Alzheimer yang lebih rendah.

f) Kadar membunuh diri yang lebih rendah (mungkin  lebih  tinggi  bagi  mereka  yang  terlampau pintar cerdas dan berbeza dengan orang lain).


6. BAKAT YANG ISTIMEWA


a) Kebolehan artistik yang luar biasa dalam satu atau lebih bidang, seperti muzik, seni dan menari.


b) Suka berkhayal dan imaginatif. Contohnya Jean Paul Sartre semasa kecil telah menulis sebuah novel yang mengisahkan pengembaraan seorang saintis yang memburu rama- rama. Penulisan mereka berbeza daripada orang lain dengan gaya (bahasa) yang


tersendiri, dan konsep / tema yang kreatif (yang memberangsangkan secara intelek atau khayalan).

c) Kreatif dan suka atau menghargai sesuatu yang berbeza, asli dan unik. Contohnya menarik perhatian ibubapa kepada sesuatu karya yang menarik perhatiannya. Meniru karya yang berkualiti tersebut.


d) Pandai berjenaka, pandai memujuk dan berdebat. Mungkin pandai menghiburkan orang dewasa. Dia ada gaya sendiri. Menggunakan dan memanipulasikan bahasa secara kreatif.


e) Kebolehan bersukan yang luar biasa, seperti ketahanan dan ketangkasan yang lebih tinggi.

 

f) Kemahiran membina dan rekacipta yang luar biasa. Contohnya semasa bermain blok, membina kota yang besar dan rumit, dengan perincian yang rumit. Menunjukkan kebolehan / kapasiti membayangkan struktur dan ruang yang luar biasa. Contohnya mencipta dunia khayalan dengan sistem dan budaya yang rumit.


g) Kemahiran kepimpinan yang luar biasa, dianggap sebagai autoriti oleh rakan lain, popular dan dikagumi


h) Boleh berfikir secara lateral dan inovatif. Banyak idea yang pelbagai.

 

7. GAYA PEMBELAJARAN


a) Menghabiskan masa yang panjang untuk aktiviti yang diminati. Seolah-olah mengasah bakat yang ada pada sendiri.


b) Pengetahuan metakognisi, digambarkan menggunakan strategi sendiri untuk mempelajari sesuatu. Selalu bertukar cara untuk mendapat cara yang paling berkesan. Minat kepada teknik ingatan (mnemonik). Perkembangan metakognisi ini berkait rapat perkembangan intrapersonal (pemahaman diri).


c) Menolak tugasan yang ringkas dan mudah, atau tidak mencuba langsung kerja yang “biasa”. Menghabiskan kerja dengan tidak puas hati dan membuta tuli kalau dipaksa melakukan kerja yang tidak diminatinya. Biasanya mereka cenderung menyempurnakan tugasan mudah yang diberi dengan cara yang kompleks (di mana tidak dijangka oleh orang lain atau dianggap berlebih-lebih).


d) Motivasi intrinsik dan kawalan dalaman yang kuat. Melakukan sesuatu demi kepuasan diri. Mengabaikan halangan seperti sindiran orang lain. Mungkin dianggap sebagai angkuh atau mencabar autoriti dengan caranya yang tersendiri.


e) Motivasi yang tinggi untuk melakukan sesuatu yang diminati tetapi malas dan suka menangani masalah dengan cara yang paling ringkas dan kreatif. Contohnya menjawab secara lisan supaya tidak perlu menulis jawapan penuh. Suka menjawab soalan matematik tanpa menjalankan operasi matematik, terus memberi jawapan kerana tidak menggemari operasi yang panjang lebar.


f) Minat yang mendalam dalam topik yang tertentu. Mereka akan mencari maklumat yang banyak dalam topik tersebut. Membuat nota dan menyusun maklumat sendiri secara sistematik tanpa disuruh. Bertindak sebagai seorang pengkaji.

 

g) Memahami dan menangani masalah baru dengan cepat. Senang menyesuaikan diri dalam budaya dan persekitaran yang baru. Dapat mengatasi halangan dan mencapai apa yang diingininya.


h) Tidak suka kerja yang berulangan seperti latih tubi. Ini mungkin menjadikan tulisan mereka tidak kemas, sebab terdesak untuk menghabiskan kerja dengan cepat sejak kecil lagi. Malas menyiapkan kerja rumah, terutamanya kerja yang salin-menyalin yang dianggap remeh dan menjemukan.


i) Tertarik kepada ransangan atau cabaran baru. Bagi seorang pelajar, mereka lebih bermotivasi mempelajari bab atau subjek yang baru atau bidang pengetahuan yang tidak pernah atau kurang diterokai.

 

8. PERKEMBANGAN MORAL


a) Berusaha menjadi budak baik, membetulkan kanak-kanak lain yang dianggap nakal. Menjadi geram apabila orang lain tidak betul.

b) Idealistik dan berharap dapat menyumbang kepada kebajikan orang lain dan memperbaiki dunia ini. Contohnya meminta ibubapa mengitar semula sampah. Kalau sifat ini menjadi ekstrim, mungkin berasa bersalah dan tertekan sebab merasakan hidupnya tidak bernilai.


c) Altruistik, dedikasi dan suka menolong orang lain. Simpati dan memahami penderitaan orang lain. Berkaitan dengan rasa bersalah dan bertanggungjawab yang menghantui mereka. Kecenderungan menghukum dirinya, mungkin menganggap dirinya tidak layak mendapat layanan yang baik (bertindak seperti hero yang tragik).


d) Revolusioner. Suka membawa perubahan dan mencabar status quo. Selalu tidak berpuas hati dengan apa yang sedia ada.


e) Reaksi yang melampau terhadap kejadian kejam, pembunuhan dan ketidakadilan. Berpegang kepada prinsip keadilan. Tertarik kepada isu-isu seperti peperangan, pemcemaran, Holocaust, kebuluran dan lain-lain. Contohnya, Siti tidak ingin makan selepas menyaksikan kebuluran yang berlaku di tempat A, Siti berasa bersalah untuk memakan.


f) Bersimpati dengan penderitaan orang dan binatang lain. Akibat perkembangan moral yang tinggi dan sifat sensitif. Menggambarkan kecerdasan interpersonal yang tinggi. Contohnya seorang budak Hinduisme yang mendesak ibubapanya menjadi vegetarian.

 

g) Mendukung sistem nilai sendiri, antaranya memilih perkerjaan yang dianggap tidak berprestij oleh orang lain tetapi bermakna bagi dirinya. Berkait rapat dengan perkembangan kecerdasan intrapersonal yang tinggi. Contohnya menjadi penulis cerita kanak-kanak, kartunis, pengkaji serangga dan sebagainya.


h) Jujur dan ikhlas. Sukar berbohong. Mereka perlu merancang dengan rapi untuk berbohong (susah berbohong secara spontan), dengan itu susah dikesan apabila mereka betul-betul berbohong! Akan bercakap benar apabila dipersoalkan oleh ibubapa. Ibubapa tidak boleh menyalahgunakan sifat mereka ini. Sifat ini adalah ketara terutamanya semasa kecil dan remaja. Contohnya, apabila guru menanya, Siapa yang mengadu? dia akan mengaku.

i) Biasanya kurang terlibat dalam masalah delinkuen atau disiplin. Kalau mereka terlibat dalam masalah jenayah, besar kemungkinan mereka adalah pintar cerdas berpencapaian rendah di sekolah.